Categories
AGENSI SELANGOR

Pascabanjir: Kutipan sampah di Sepang, Kuala Selangor selesai, kawasan lain jangka Jumaat

SHAH ALAM, 4 JAN: Kerja pembersihan pascabanjir seluruh kawasan terlibat dijangka selesai sepenuhnya sebelum Jumaat ini, kata KDEB Waste Management (KDEBWM).

Pengarah Urusan Ramli Mohd Tahir berkata proses pembersihan menghampiri 90 peratus malah kutipan sampah di beberapa kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) antaranya Sepang dan Kuala Selangor sudah tamat.

“Insya-Allah. Saya beri jaminan akan selesai sebelum Jumaat cuma kita harap cuaca dalam keadaan baik dan tidak hujan.

“Jika hujan ia menyukarkan dan memperlahankan kerja kutipan termasuk risiko sampah tertolak ke parit atau longkang,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata selepas 12 hari beroperasi setakat semalam sebanyak 40,000 tan sisa bencana berjaya dikeluarkan meliputi semua kawasan terlibat.

“Selain itu lebih 1,200 kru pembersihan terbabit dan bertugas sehingga malam. Kru di kawasan yang sudah selesai akan dihantar membantu ke kawasan lain. Ini mempercepatkan usaha pemulihan,” katanya.

Syarikat pengurusan sisa pepejal milik penuh Kerajaan Negeri itu membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah sejak 19 Disember secara berperingkat.

KDEBWM turut mendapat bantuan sukarelawan dan PBT termasuk dari negeri lain bagi mempercepat urusan.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.