Categories
AGENSI SELANGOR

Pascabanjir: Team Selangor terima banyak permintaan mangsa, bantu bersih kediaman

SHAH ALAM, 2 JAN: Seramai 90 sukarelawan Team Selangor meneruskan aktiviti membantu mangsa banjir pada hari ini.

Ketua Sekretariat Syahaizel Keman berkata aktiviti membantu membersihkan rumah itu meliputi dua kawasan iaitu di Bukit Lanchong, Subang Jaya dan Labohan Dagang, Banting.

“Jika ikut perancangan kita hanya ke Bukit Lanchong sahaja hari ini, namun mendapat permintaan dari komuniti di Labohan Dagang dan kita hantar juga sukarelawan ke sana untuk membantu.

“Pergerakan sukarelawan bermula jam 8.30 pagi dengan seramai 65 orang di Bukit Lanchong, manakala 25 orang lagi di Labohan Dagang,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Team Selangor menerima banyak permintaan mangsa banjir untuk membantu mereka membersihkan kediaman mereka.

“Justeru kita berharap lebih ramai individu tampil menjadi sukarelawan bukan sahaja untuk membantu mangsa banjir tetapi pelbagai program kemasyarakatan pada masa depan,” katanya.

Individu yang berminat menjadi sukarelawan Team Selangor boleh mendaftar di bit.ly/SkuadBencanaTeamSelangor atau sebarang pertanyaan boleh hubungi 013-530 3578.

Pada 18 Disember lalu, Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan sukarelawan termasuk Team Selangor bagi membantu proses menempatkan penduduk yang terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan sukarelawan turut mengagihkan bantuan awal kepada mangsa.