Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pelaburan di Selangor dijangka bertambah baik tahun depan

PETALING JAYA, 28 JAN: Selangor optimis pelaburan langsung asing negeri ini kembali bertambah baik tahun depan, kata EXCO pelaburan dan perdagangan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata pintu sempadan antarabangsa yang masih ditutup mungkin sedikit menjejaskan misi pelaburan di luar negara tahun ini.

“Walaupun berusaha melakukan program promosi dalam talian tetapi terhad memandangkan pelaburan tertentu memerlukan mereka (pelabur) melawat secara fizikal.

“Apabila adanya penutupan pintu sempadan antarabangsa memang kita tidak dapat elakkan dan perlu berhati-hati. Jadi, kita harap tahun depan ia (pelaburan) lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi pendengaran awam penerbangan perniagaan dan penerbangaan am di Hotel Hilton dekat sini semalam.

Bagaimanapun, Chang Khim berharap sasaran RM8 bilion pelaburan tahun ini mampu dicapai, lebih tinggi berbanding RM5.9 bilion yang diperoleh pada 2021 berdasarkan rekod setakat September.

Pada 21 Januari, beliau berkata pihaknya masih menumpukan lima kluster dalam menarik pelabur asing ke Selangor iaitu elektronik dan elektrikal, mesin dan peralatan, peralatan pengangkutan, makanan dan minuman serta sains hayat.

Bagi mencapai sasaran itu, katanya, promosi lebih kreatif dan mengikut perkembangan semasa masih dilaksanakan seperti penganjuran ekspo dalam talian selain Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) secara hibrid.