Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Pembersihan pascabanjir lokaliti MBSA selesai Ahad ini

SHAH ALAM, 5 JAN: Operasi pembersihan sampah banjir fasa satu bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dijangka selesai sepenuhnya Ahad ini.

Timbalan Datuk Bandar Mohd Rashidi Ruslan berkata sebanyak 13 dari 21 lokasi terjejas selesai dibersihkan manakala baki mencecah antara 70 hingga 80 peratus.

Beliau memaklumkan sebanyak 34,188 tan metrik sampah dikeluarkan setakat semalam dengan lebih separuh membabitkan kawasan Taman Sri Muda.

“Proses pembersihan dijalankan hampir 24 jam dengan menumpukan kawasan kediaman pada waktu siang manakala malam di kawasan industri dan komersial,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau operasi pembersihan pascabanjir di beberapa lokasi di Taman Sri Muda termasuk dua stesen pemindahan sementara (TS).

Mohd Rashidi turut memaklumkan jentera sama iaitu 1,537 lori dan ratusan tong Roll-on-Roll-off (Roro) digerakkan ke setiap lokaliti untuk pembersihan fasa kedua.

Taburan hujan luar biasa antara 100 ke 400 milimeter secara berterusan antara 17 hingga 19 Disember mengakibatkan 186 kawasan di sembilan daerah di Selangor terjejas banjir.

Antara yang terkesan teruk ialah Taman Sri Muda, dengan 4,276 mangsa berjaya diselamatkan dan sebahagian besar ditempatkan ke 18 pusat pemindahan sementara (PPS).