Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penerima bantuan RM1,000 mahu ganti buku, kasut sekolah dihanyut banjir

SHAH ALAM, 6 JAN : Seorang bapa berhasrat menggunakan wang RM1,000 menerusi Bantuan Selangor Bangkit bagi membeli kelengkapan sekolah tiga anaknya berusia 11,9 dan 8 tahun.

Muhd Sahril Tumian

Muhd Sahril Tumian, 39, berkata pakaian sekolah, kasut dan buku kebanyakan sudah dibeli sebelum ini tetapi musnah dihanyut banjir.

“Sedih memang sedih, kerana semuanya sudah lengkap cuma tinggal mereka mahu masuk sekolah sahaja lagi, ikut rugi memang banyak perabot semua musnah.

“Alhamdulillah, ada bantuan daripada Kerajaan Selangor dan persekutuan yang sedikit sebanyak membantu saya untuk beli peralatan sekolah anak dan beberapa barangan lain,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau antara 800 keluarga terjejas banjir yang menerima Bantuan Selangor Bangkit RM1,000 di Dewan MPKK Kampung Lombong di sini hari ini.

Mawar Syazwana Mohd Nasir

Selain itu, Mawar Syazwana Mohd Nasir, 32, berkata belum pernah bencana seumpama itu melanda sejak menetap di Kampung Lombong lima tahun lalu.

“Saya reda dengan ujian ini dan terima kasih Kerajaan Selangor beri bantuan tunai hari ini.

“Alhamdulillah proses amat mudah dan tidak mengambil masa yang lama. Perkara pertama saya akan gunakan wang ini untuk membeli perabot seperti almari pakaian dan rak,” katanya.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program Bantuan Selangor Bangkit susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.