Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Pengusaha bengkel tak menang tangan baiki motor

SHAH ALAM, 1 JAN: Pengusaha bengkel motosikal di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini tidak menang tangan melayani pelanggan untuk membaiki kenderaan yang rosak ekoran banjir baru-baru ini.

Rahim Sumidin, 46, mengakui terpaksa membuka operasi seawal minggu lalu demi memenuhi permintaan tinggi pelanggan meskipun premisnya yang turut terjejas masih dalam proses pembersihan.

Menurutnya, kira-kira 20 hingga 30 unit motosikal pelanggan mengalami kerosakan kritikal dibaiki setiap hari menggunakan khidmat tiga mekanik mengikut waktu operasi biasa dari 10 pagi hingga 7 malam.

Rahim Sumidin, 46. Foto REMY ARIFIN/SELANGPRKINI

“Sebenarnya ramai pelanggan minta baiki segera sebab motosikal mereka rosak ditenggelami air. Siapa yang hantar dulu, kita buat manakala yang lain kena tunggu sebab mekanik pun empat orang sahaja termasuk saya.

“Itupun saya perlu selesaikan kerja pembersihan dalam kedai dan pejabat di tingkat satu yang masih kotor, tetapi demi pelanggan kita akan cuba usahakan sebab faham situasi mereka terutama yang tiada kenderaan lain untuk bergerak,” katanya.

Mula mengusahakan bengkel terbabit sejak 2007, Rahim berkata insiden pada 18 Disember lalu merosakkan hampir keseluruhan alat ganti motosikal termasuk perkakas pejabat bernilai antara RM50,000 hingga RM60,000.

“Kejadian banjir kali ini adalah yang terburuk sehingga melimpah ke tingkat satu kedai. Sebelum ini pernah berlaku pada 1996 tetapi air takat paras kaki dan sama sekali tidak memusnahkan alat ganti motosikal.

“Saya terpaksa beli stok alat ganti baharu kerana kebanyakan rosak dan perlu dibuang, alat ganti yang masih elok pula akan dicuci sebelum dijual kepada pelanggan dengan harga lebih murah,” katanya.

Ahli keluarga Suhaila Sepian membantu membersihkan kedai dobi layan diri yang terjejas akibat banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 1 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, pengusaha dobi layan diri Suhaila Sepian, 46, berkata bencana dua minggu lalu merosakkan lapan unit mesin basuh termasuk tangki dan pam air dengan kerugian lebih RM200,000.

Suhaila Sepian, 46. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Menyifatkannya sebagai igauan ngeri, ibu empat anak itu juga tidak menyangka perniagaan diusahakan sejak tujuh tahun lalu terpaksa ditutup sepenuhnya berikutan ketiadaan modal untuk bangkit semula.

“Semua peralatan memang dah tak boleh guna, jadi setelah fikir masak-masak, saya dan suami memutuskan untuk hentikan perniagaan ini. Mungkin ada rezeki lain di kemudian hari, sama ada cepat atau lambat.

“Barang di kedai akan dihantar ke pusat pelupusan dan kedai pula perlu dibersihkan untuk diserahkan semula kepada pemilik asal,” katanya sebak.