Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pentadbiran Selangor stabil, jangan terikut rentak politik tempat lain

SHAH ALAM, 31 JAN: Pentadbiran Kerajaan Selangor kekal stabil di sebalik ketidaktentuan hala tuju politik negara, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kaedah pentadbiran negeri ini oleh gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) mampu membawa kebaikan kepada semua.

Dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina 2022 hari ini, beliau turut menjelaskan situasi politik di tempat lain tidak seharusnya menjadi ikutan.

“Kita harus sedar dan tidak terikut-ikut situasi di tempat dan kawasan lain. Selangor adalah sebuah negeri yang pelbagai, penuh dengan keunikan dan kerencamannya, sebuah ‘melting pot’ negara Malaysia,” katanya.

Amirudin berkata Kerajaan Selangor sentiasa menjaga dan memelihara kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum.

“Kepentingan semua terutamanya rakyat dan komuniti yang amat memerlukan merupakan dorongan kepada pentadbiran ini untuk meneruskan tekad supaya Selangor Bangkit dan kita Maju Bersama,” katanya.