Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Persediaan sederhana sambut Tahun Baharu Cina, mangsa bah masih sedih

SHAH ALAM, 29 JAN: Persediaan perayaan Tahun Baharu Cina sekitar Taman Seri Muda dilakukan secara sederhana berikutan bah pada Disember lalu.

Pemilik pasar mini Ng Yean Huan berkata kebiasaannya orang ramai sibuk membeli barang keperluan namun sambutan pada tahun ini sedikit berbeza meskipun perayaan tinggal beberapa hari lagi.

Ng Yean Huan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Orang dah habis duit bila rumah kena banjir. Banyak lagi barang rumah yang perlu dibeli berbanding buat persiapan untuk sambut Tahun Baru Cina.

“Saya sendiri pun sambut ala kadar, rasa sedih apabila lihat kedai rosak belum hilang. Saya hanya buat makan besar yang ringkas dan upacara sembahyang sebab ini budaya,” katanya ketika ditemui.

Sepanjang lebih 20 tahun menjalankan perniagaan di situ, beliau berkata dua kali kedainya dinaiki air hingga menyebabkan kerugian besar.

“Saya harap masalah banjir diselesaikan. Lepas banjir (Disember), beberapa kawan yang berniaga telah pindah. Mereka takut banjir berulang dan tak sanggup hadap risiko,” katanya.

Ong Lee Kiang. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Tukang jahit dan penjual hiasan Ong Lee Kiang mengakui sambutan tidak semeriah selalu apabila tidak ramai pelanggang datang membeli tanglung.

Malah beliau berkata tempahan baju juga tidak diterima memandangkan ramai pelanggan masih terkesan dengan banjir.

“Sebelum banjir saya terima tempahan hampir 80 pasang baju tetapi semuanya rosak kerana kedai tenggelam. Namun pelanggan faham dan tak minta ganti rugi.

“Kalau tidak banjir, sekarang saya mesti sibuk menjahit sehingga sehari sebelum raya tapi tahun ini lengang. Barangan hiasan juga tidak cukup kerana pelanggan ramai,” katanya.

Sementara itu Chan Yook Lan, 65, berkata beliau hanya menyambut perayaan bersama keluarga dengan menyediakan menu makanan ringkas selain persiapan upacara sembahyang.

Chan Yook Lan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Selalu kami jemput rakan dan jiran tetapi tahun ini tidak. Raya tetap disambut cuma kali ini sambutan biasa sahaja. Lagi pun rumah masih belum kemas sepenuhnya lepas banjir,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Taman Seri Muda antara tiga lokasi utama di negeri ini mengalami kerosakan teruk akibat bah selain Hulu Langat dan Bukit Lanchong, Subang Jaya.