Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Peserta beratur jam 5.40 pagi, 1,008 dos penggalak habis lima jam

SHAH ALAM, 9 JAN: Orang awam mula beratur seawal jam 5.40 pagi untuk mendapatkan dos penggalak menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Booster Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu hari ini.

Wakil rakyat Lee Kee Hiong berkata hanya dalam tempoh lima jam sahaja sebanyak 1,008 daripada 1,100 dos penggalak yang diperuntukkan habis diberi.

“Saya tidak menyangka sambutan diterima amat menggalakkan apabila ada beberapa orang mulai beratur seawal jam 5.40 pagi walaupun kita sudah maklum program bermula jam 9 pagi.

“Jika dilihat orang yang hadir tadi sangat ramai kira-kira lebih 1,200 tetapi segelintir daripadanya sudah ada janji temu di MySejahtera. Kita mohon maaf dan minta mereka menunggu janji temu itu,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Kee Hiong, pihaknya akan mempertimbang untuk mengadakan siri kedua pemberian dos berkenaan menerusi program Selvax Booster  selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

“Mungkin selepas sambutan perayaan tetapi ia bergantung kepada bekalan vaksin yang diberi Kerajaan Negeri kepada kita,” katanya lagi.

Program Selvax Booster Kuala Kubu Bharu yang diadakan hari ini bermula jam 9 pagi hingga 5 petang di Dewan Serbaguna Kampung Chuang Rasa.

Suntikan dos penggalak melalui program Selvax Booster diadakan di enam DUN mulai 17 Disember hingga hujung bulan ini.

Bermula di Balakong pada Jumaat, program seterusnya di Bandar Utama pada 18 dan 19 Disember, Rawang (20 Disember), Taman Templer (26 Disember) dan Seri Kembangan (30 Disember).

Pada 7 Disember lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma kepada rakyat negeri ini melalui program Selvax Booster.