Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKPS beralih kepada fasa teknologi digital, tumpu pertanian moden

SHAH ALAM, 28 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mahu memfokuskan ke arah pertanian moden sempena 50 tahun penubuhan agensinya.

Ketua Pegawai Eksekutif Dr Mohamed Khairil Mohamad Razi berkata agensi itu akan berubah kepada fasa teknologi dan pendigitalan dalam sektor pertanian.

“Kita sedang melaksanakan beberapa fasa pendigitalan di semua peringkat sektor pertanian bersandarkan kepada kerangka ‘internet kebendaan’, ‘kecerdasan buatan’ dan ‘analisis masa nyata’.

“Ini bermakna kita akan menumpukan kepada kaedah pertanian moden dengan memanfaatkan tanah sedia ada menggunakan teknologi baharu termasuk membantu bangunkan usahawan tani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PKPS bertemakan “Perkasa Pertanian Moden, Memacu Ekonomi Selangor” di Wisma PKPS di sini semalam.

Mengulas mengenai sambutan 50 tahun agensi itu, Dr Mohamed Khairil berkata banyak perubahan dialami PKPS daripada sebuah organisasi penanaman kelapa sawit kini berkembang kepada bidang korporat komersial dan pemasaran.

“Insya-Allah, PKPS akan menjadi sebuah agensi yang bukan sahaja pemangkin kepada industri agro-makanan di Selangor malahan mendapat keyakinan di peringkat Kerajaan Negeri sebagai agen pelaksana inisiatif rakyat,” katanya.

Menurutnya, beberapa program turut direncana sempena sambutan 50 tahun PKPS antaranya Larian Jubli Emas PKPS 2022, Karnival Selangor Fruit Valley selain beberapa program jualan murah produk segar.