Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Bot penyelamat tersangkut, pusat pemindahan ditenggelami banjir

SHAH ALAM, 20 JAN: Bot penyelamat sukar bergerak akibat tersangkut pada kenderaan yang tenggelam di kawasan banjir besar di Selangor hujung tahun lalu, jelas perdana menteri.

Berucap di mesyuarat khas Dewan Rakyat hari ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sekolah dan kemudahan yang diwartakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) pula turut ditenggelami banjir.

Tambahnya, kenderaan yang tersekat di jalan utama menghalang kenderaan pasukan penyelamat memasuki kawasan perumahan sehingga “aset-aset menyelamat terpaksa dipikul ke kawasan” banjir.

“Selain itu, bot-bot penyelamat juga sukar untuk bergerak di dalam kawasan banjir kerana tersangkut pada kenderaan yang tenggelam di kawasan terjejas.

“Kelewatan kerja-kerja menyelamat juga adalah disebabkan alamat rumah yang diberikan oleh pemanggil tidak dapat dikenal pasti kerana sudah ditenggelami air,” katanya.

Selain tidak arif kawasan yang dilimpahi air besar, kata Ismail Sabri lagi, kemudahan PPS juga dinaiki air.

“Justeru, PPS ad hoc (tanpa perancangan) diwujudkan seperti di surau dan masjid, malahan khemah sementara juga didirikan dengan kadar segera bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir yang diselamatkan,” katanya.

“Ketiadaan bekalan elektrik dan infrastruktur komunikasi yang terputus akibat banjir, menyebabkan penduduk tidak dapat menghubungi agensi penyelamat untuk bantuan.

“Inilah antara cabaran yang dihadapi oleh pasukan penyelamat dan petugas di lapangan dalam operasi bencana yang luar biasa ini.”

Ismail Sabri juga mendakwa agensi penyelamat sukar mendapatkan kerjasama penduduk untuk berpindah dengan segera kerana bimbang keselamatan harta benda, jangkitan Covid-19 dan jarak pusat pemindahan jauh dari rumah.