Categories
AGENDA NASIONAL

Poliklinik jual sijil vaksin palsu diserbu, tujuh ditahan

SHAH ALAM, 17 JAN: Polis menahan tujuh individu tempatan termasuk tiga wanita berumur lingkungan 20 hingga 35 tahun yang merupakan pekerja dan pemilik sebuah poliklinik dipercayai terbabit dalam aktiviti pemalsuan cara memperoleh dan mengeluarkan sijil vaksinasi secara tidak sah di Selangor.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata dalam serbuan di poliklinik berkenaan, polis turut merampas peralatan komputer yang dipercayai boleh digunakan untuk mengisi data pesakit ke dalam aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata walaupun poliklinik tersebut menerima vaksin Covid-19 daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun kandungan botol vaksin dibuang dan dipulangkan kepada KKM sebagai tanda sudah dicucuk dan sijil vaksinasi dikeluarkan.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Arjunaidi berkata modus operandi poliklinik itu adalah bagi individu yang tidak mahu menerima vaksin (antivaksin), mereka tidak akan disuntik tetapi hanya dikeluarkan sijil selepas dikenakan bayaran tertentu.

Katanya pada peringkat awal, pelanggan akan dikenakan bayaran sehingga RM3,000 tetapi kemudiannya berdasarkan laporan yang diterima harganya turun kepada RM500.

Beliau juga tidak menafikan terdapatnya persaingan harga dari kumpulan lain yang menawarkan perkhidmatan yang sama dan serbuan itu dilakukan susulan pesanan ringkas yang tular melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan khidmat pendaftaran vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera.

“Hasil penelitian di dalam komputer riba yang dirampas mendapat terdapat 5,601 pesakit yang telah didaftarkan sebagai penerima vaksinasi ke dalam sistem MySejahtera dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jumlah yang didaftarkan tanpa menerima suntikan,” katanya.

Arjunaidi berkata modus operandi yang digunakan dalam kes itu ialah dengan cara mendapatkan pelanggan melalui sebaran WhatsApp dan juga kenalan terdekat.

Beliau berkata kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

– BERNAMA