Categories
EXCO SELANGOR

Ringan beban ibu bapa, 119 murid susah dapat bantuan sekolah

SHAH ALAM, 26 JAN: Seramai 119 murid dari Pangsapuri Seri Cempaka Council Homes, Seksyen 16, Bangi menerima baucar persekolahan sumbangan Perumahan Hartanah Selangor Sdn Bhd semalam.

Baucar bernilai RM70 bawah program Bingkisan Mesra Selangor bagi menampung perbelanjaan ibu bapa menyediakan kelengkapan anak-anak, kata EXCO Perumahan Rodziah Ismail.

“Saya berharap anak-anak ini dapat menuntut ilmu sebaik mungkin supaya menjadi insan berjaya dan boleh membanggakan ibu bapa suatu hari nanti,” katanya menambah bantuan sama diagih kepada pelajar di tiga projek perumahan rakyat (PPR).

Rodziah yang juga wakil rakyat Batu Tiga turut menasihati ibu bapa supaya menjaga mental dan fizikal anak masing-masing kerana ia aset tidak ternilai.

“Tumpuan membesarkan (anak) bukan sahaja melihat pada akademik, pemakanan (nutrisi) juga perlu dititikberatkan,” katanya lagi.