Categories
ADN SELANGOR

Selvax Booster DUN Kuala Kubu Bharu Ahad ini

SHAH ALAM, 3 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu menganjurkan program Vaksin Selangor (Selvax) Booster pada 9 Januari ini.

Wakil rakyatnya Lee Kee Hiong berkata program itu berlangsung dari 9 pagi hingga 5 petang di Dewan Serbaguna Kampung Chuang Rasa, Kuala Kubu Bharu.

“Dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Sinovac ini akan diberi secara percuma kepada individu berusia 18 tahun ke atas dan terhad 1,000 dos booster sahaja,” katanya menerusi Twitter.

Antara syarat lain individu itu perlu lengkap dos Sinovac dan tempoh melebihi tiga bulan, terbuka kepada mereka yang tidak menerima janji temu di MySejahtera.

Untuk maklumat atau pertanyaan boleh hubungi Pusat Khidmat Kuala Kubu Bharu di talian 03-6064 5505.

Pada 7 Disember lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma menerusi program Selvax Booster.

Pada 30 Jun Selangor melaksanakan Selvax Komuniti yang menyasarkan warga emas dan golongan berpendapatan rendah manakala Selvax Industri memfokuskan pekerja termasuk warga asing.

Kemudian pada 12 September Selvax bergerak dilaksanakan menggunakan bas dan van bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Pada 7 Oktober, Kerajaan Negeri mengumumkan pula program Selvax Remaja melibatkan 150,000 dos pelalian.