Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan berangkat ke majlis bacaan Yasin Almarhumah Tengku Thuraya

SHAH ALAM, 28 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil untuk Almarhumah Tengku Thuraya Almarhum Sultan Ibrahim.

Turut berangkat bersama Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ialah DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Menurut Facebook Selangor Royal Office, Almarhumah Tengku Thuraya merupakan bonda kepada Tengku Indera Pahlawan Diraja Tengku Putra Alhaj Tengku Azman Shah Alhaj.

Balu kepada Tengku Bendahara Selangor Tengku Azman Shah Alhaj Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj itu mangkat pada usia 93 tahun kerana sakit tua.

Majlis berlangsung selepas solat maghrib di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah semalam.

Turut berangkat Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra dan Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid.

Hadir sama Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj, Tengku Panglima Besar Selangor Tengku Abdul Samad Shah Alhaj dan Tengku Panglima Raja Selangor Tengku Ahmad Shah Alhaj.

Turut hadir Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah.