Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor gesa graduan UPM sanjung tinggi perlembagaan, undang-undang

SERDANG, 13 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) agar sentiasa menyanjung tinggi perlembagaan dan undang-undang negara.

Baginda juga mengingatkan para graduan agar bebas daripada salah laku yang boleh mencalarkan maruah keluarga, bangsa dan negara sekali gus menjadi warganegara bertanggungjawab dan berintegriti tinggi.

“Beta ingin menggesa para graduan, berjuang untuk meningkatkan martabat ibu bapa, keluarga dan negara ke peringkat yang lebih tinggi dengan ilmu yang dipelajari,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada Istiadat Konvokesyen UPM ke-44 di sini semalam.

Sultan Sharafuddin yang juga Tuanku Canselor UPM dalam titahnya turut menyentuh peranan universiti bukan sahaja untuk menyediakan graduan bagi memenuhi pasaran kerja malah melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk menjadi individu yang aktif, bertanggungjawab, beradab, beramanah dan menjunjung tinggi tatacara kehidupan insaniah.

“Graduan seperti ini akan membawa rahmat dan kesejahteraan kepada insan lain dan alam persekitaran serta akhirnya menjamin masa depan yang lestari. Kejayaan diraih bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga dari segi keperibadian diri graduan,” titah Baginda.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin juga bertitah Pelan Strategik UPM 2021-2025 dilancarkan pada Disember lepas mampu memperkukuh universiti berkenaan sebagai menara ilmu yang memacu kecemerlangan.

Baginda bertitah UPM memberi fokus kepada lima strategi utama di bawah pelan strategik iaitu memacu pertanian berteknologi tinggi; membangun karektor graduan; menaja kampus pintar dan pendigitalan; memastikan kesempurnaan institusi yang mantap dan melaksanakan pembudayaan norma baharu.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menitahkan warga UPM termasuk para graduan yang bakal menjadi alumni untuk menyokong pelaksanaan pelan strategik itu.

“Beta difahamkan pengurusan universiti ini sentiasa melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan berterusan untuk mengangkat UPM sebagai sebuah menara ilmu melalui peningkatan kualiti pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan profesional terhadap masyarakat,” titah Baginda.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) berkenan menyampaikan Pingat Emas Canselor kepda Aini Nazihah Hasan ketika Istiadat Konvokesyen UPM ke-44 pada 12 Januari 2022. Foto BERNAMA

Pada istiadat konvokesyen itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan memasyhurkan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah; Prof Emeritus Datuk Dr Ir Muhamad Zohadie Bardaie dan Prof Emeritus Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim sebagai Pro Canselor UPM selama tempoh tiga tahun mulai 18 Oktober 2021 hingga 17 Oktober 2024.

Baginda juga berkenan menyampaikan Hadiah Pingat Emas Canselor kepada Aini Nazihah Hasin@Hassan (Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik Dengan Kepujian) Fakulti Sains dan Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera) kepada Putera Mohamad Iskandar Jamil (Ijazah Sarjana Muda Sains Hortikultur) Fakulti Pertanian.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia Fakulti Ekologi Manusia, Chow Heng Yee pula menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Bukan Bumiputera).

Sultan Selangor turut mengucapkan tahniah kepada pengurusan dan warga UPM atas kejayaan berada di tangga 143 dalam penarafan QS World University Ranking 2022 serta kejayaan mengekalkan kedudukan sebagai universiti terbaik di Malaysia dan ranking ke-27 terbaik dunia dalam penarafan UI-Greenmetric World University Ranking 2021.

– BERNAMA