Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan, Tengku Permaisuri berkenan melawat Ekspo 2020 Dubai

SHAH ALAM, 24 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri berkenan berangkat ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk melawat Ekspo 2020 Dubai.

DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Norashikin berkenan meluangkan masa selama enam hari untuk melawat ke 32 pavilion negara-negara yang mengambil bahagian di ekspo antarabangsa itu.

“Semasa lawatan ini, Baginda diberi taklimat oleh wakil setiap pavilion mengenai isu-isu global yang signifikan khususnya mengenai kelestarian alam sekitar, memperkasa kemampanan serta keseimbangan ekosistem.

“Baginda amat sukacita kerana hasil daripada lawatan ke ekspo kali ini banyak memberi informasi dan ilmu pengetahuan terkini kepada Baginda yang relevan dengan perkembangan teknologi semasa,” kata Selangor Royal Office di Facebook.

Antara pavilion yang dilawati oleh Baginda ialah Malaysia, UAE, Arab Saudi, Belgium, Itali, Perancis, Sepanyol, Sweden, Jerman, Maghribi, Kazakhstan, Palestin, China, Thailand, Australia, United Nations (UN), Terra dan World Expo Museum.

Ekspo 2020 Dubai yang bertemakan “Menghubung Minda, Mencipta Masa Depan” telah membuka banyak peluang pasaran yang baharu dan menarik dalam meningkatkan perdagangan, pelaburan serta pertukaran budaya di antara negara-negara terlibat.