Categories
AGENDA NASIONAL

Tanah mendap, Jalan Kinabalu arah Cheras ditutup dua hari

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menutup Jalan Kinabalu di sini dari arah Cheras berikutan kejadian tanah mendap sehingga mengakibatkan jalan berlubang.

Ketua JSPT Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata jalan berkenaan ditutup pada pukul 10.30 pagi tadi kepada semua kenderaan.

Beliau berkata kerja-kerja pembaikan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dijangka akan mengambil masa dua atau tiga hari.

“Polis menasihatkan supaya pengguna jalan raya agar tidak menggunakan laluan tersebut dan mematuhi papan tanda arahan yang telah disediakan.

Polis dalam pada itu menyediakan laluan alternatif antaranya kenderaan dari arah Selayang yang hendak ke Cheras dan selatan dilencongkan ke Bulatan Dato’ Onn, Jalan Parlimen dan seterusnya ke Jalan Sultan Iskandar dan ke selatan semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sarifudin berkata bagi kenderaan dari arah Jalan Maharajalela, Bulatan Sultan Muhammad serta Bulatan Hishamuddin dilencongkan terus ke Jalan Raja untuk ke pusat bandar atau ke arah utara semula.

Sementara itu, kenderaan daripada arah Jalan Parlimen masuk ke Bulatan Dato’ Onn dilencongkan ke Jalan Kuching manakala kenderaan daripada Jalan Tun Perak ke Bulatan Dato’ Onn di halakan terus ke Jalan Parlimen.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau talian penting JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267 atau mana- mana balai polis berhampiran,” katanya.

-BERNAMA