KUALA LUMPUR, 1 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengadakan perbincangan dan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi membantu bakal jemaah yang terkesan susulan penangguhan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan umrah bermula 8 Jan ini.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia termasuk berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), sama ada jemaah diberi pembayaran balik atau dijadualkan semula perjalanan mereka.
“Memang kita dah bincang dengan mereka bagaimana mereka yang terkesan ini dapat sama ada menjadualkan semula umrah mereka dan langkah untuk dapat bayaran balik selain kita juga akan terus adakan sesi libat urus dengan agensi pelancongan.
“Saya minta maaf kepada mereka yang nak pegi umrah tetapi mudarat yang besar adalah kesihatan awam…tidak ada menteri beragama Islam yang ingin tangguhkan ibadah umrah, tetapi ini perkara yang serius, ini bukan tweet di media sosial, ini bukan video di Tiktok, ini adalah kehidupan anda,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Kerajaan hari ini menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan bagi membendung penularan Omicron, susulan kebimbangan terhadap penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada tatacara kuarantin di tempat kediaman.
Ditanya mengenai kos kuarantin wajib di pusat kuarantin yang akan dikenakan kepada jemaah umrah, Khairy berkata mereka mempunyai pilihan sama ada untuk menanggung sendiri bayaran kos kuarantin di hotel yang akan disenaraikan oleh KKM atau menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang disediakan kerajaan.
Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sedang menguruskan stesen kuarantin yang sesuai dan selesa untuk menempatkan para jemaah dan berkemungkinan melibatkan kemudahan kerajaan yang digunakan sebagai pusat kuarantin sebelum ini.
Dalam pada itu, Khairy berkata KKM sedang mengkaji berkenaan suntikan dua dos vaksin Covid-19 jenis Sinovac diikuti dos penggalak Pfizer-BioNTech yang didakwa menunjukkan tindak balas imun yang rendah melawan Omicron, berbanding varian lain.
“Kita telah terima berita tersebut, kumpulan teknikal sedang mengkaji maklumat yang diperoleh dan mereka akan buat syor kepada CITF (Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19).
“Sama ada mereka yang telah terima Sinovac, Sinovac, Pfizer mesti dilengkapi dengan satu dos lagi, tetapi masih terlalu awal untuk buat apa-apa kesimpulan buat masa ini tetapi kita dah tahu berita tersebut dan sedang dikaji,” katanya.
Media melaporkan kajian yang dilakukan sekumpulan penyelidik dari Universiti Yale, Kementerian Kesihatan Republik Dominican serta beberapa institusi lain mendapati dua suntikan vaksin Sinovac diikuti dos penggalak Pfizer-BioNTech menunjukkan tindak balas imun yang rendah melawan Omicron, berbanding varian lain.
-BERNAMA