Categories
ADN SELANGOR

Thaipusam: Masyarakat diseru ikut SOP demi keselamatan, kesihatan

SHAH ALAM, 16 JAN: Masyarakat Hindu diseru supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sempena perayaan Thaipusam demi keselamatan dan kesihatan semua pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Agama Hindu Selangor V Ganabatirau berkata langkah itu penting bagi mengelak penularan wabak ketika menyambut perayaan terutama terhadap kanak- kanak dan warga emas.

“Walaupun disambut dengan keadaan SOP tetapi kebenaran untuk masyarakat Hindu membayar nazar dan sembahyang masih dibenarkan.

“Oleh demikian, saya seru masyarakat Hindu sucikan rohani dan tidak melawan apa yang ditetapkan kerajaan supaya niat baik dapat dilaksanakan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada Rabu Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique mengumumkan upacara ‘paal koodam’, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati dibenarkan tanpa melibatkan acara ‘kavadi’ bagi perayaan Thaipusam.

SOP yang ditetapkan bagi Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves termasuk jumlah pengunjung tidak melebihi 6,000 orang setiap hari, pengunjung untuk ‘paal koodam’  pula dihadkan tidak melebihi 100 orang dan setiap sesi sembahyang selama 30 minit diikuti proses sanitasi.

Kerajaan juga tidak membenarkan gerai jualan sementara dalam bentuk promosi atau jualan di dalam atau luar kawasan kuil sebagai langkah mencegah penularan Covid-19.