Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada bekalan air cabaran utama sukarelawan bersih kawasan bah

SHAH ALAM, 4 JAN: Tiada bekalan air antara cabaran utama Sukarelawan Selangor (SERVE) ketika membantu operasi pembersihan pascabanjir di beberapa lokasi negeri ini.

Ketuanya Ahmad Danish Hairudin berkata situasi itu menyebabkan pembersihan di Hulu Langat dan Taman Sri Muda terpaksa ditangguhkan sehingga bekalan tiba.

“Kedua-dua kawasan itu terputus sumber air kira-kira tiga hingga empat hari menyebabkan sukar untuk kami membersih kediaman mangsa, justeru kami buang dulu perkakas yang rosak,” katanya.

Beliau menambah lumpur tebal turut mencabar operasi pembersihan namun bersyukur urusan tersebut dipermudah dengn bantuan ahli yang ramai.

“Alhamdulillah, kerja membersihkan kediaman mangsa serta agihan barangan keperluan berjalan lancar sehingga kini,” katanya.

Orang ramai yang memerlukan khidmat bantuan pembersihan pascabanjir boleh menghubungi Pusat Koordinasi Sukarelawan Selangor di talian 011-57529196/011-5752939.

SERVE adalah kesinambungan Penggerak Belia Selangor, terbuka kepada individu berusia 36 tahun ke atas dengan beberapa misi bantuan digerakkan sejak tahun lalu.