Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga juta pelajar dapat bantuan sekolah RM150 mulai Isnin

SHAH ALAM, 14 JAN: Tiga juta pelajar yang akan memasuki tahun dua hingga tingkatan lima bakal menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 mulai Isnin.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan berkata bantuan bagi sesi persekolahan 2022/2023 khusus untuk keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Menurut kementerian itu, pelajar tahun satu hingga tingkatan empat dalam sesi persekolahan 2020/2021 juga layak menerima insentif tersebut.

“Sementara itu, bagi murid tahun satu yang akan mula mendaftar masuk sekolah pada 21 Mac 2022, pemberian BAP akan dilaksanakan selepas proses pendaftaran selesai,” katanya.

KPM berkata pemberian BAP secara tunai dilaksanakan di sekolah mengikut tatacara operasi piawai (SOP) manakala bantuan dikreditkan untuk pelajar yang memiliki akaun bank.

“KPM yakin pemberian ini akan dapat membantu ibu bapa atau penjaga membuat persiapan awal anak-anak untuk memulakan persekolahan bagi sesi akademik 2022/2023,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan BAP dinaikkan kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini dengan nilai keseluruhan RM450 juta.