Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tiga tan baju percuma habis ‘disambar’, seragam sekolah paling laku

SHAH ALAM, 9 JAN: Sebanyak tiga tan pakaian dan selimut diagih kepada mangsa banjir dalam tempoh dua hari Program Bazaar Percuma di Kuil Sri Maha Mariamman, Taman Sri Muda di sini.

Daripada jumlah itu, pakai seragam sekolah paling mendapat sambutan apabila 150 helai habis dalam tempoh singkat, kata Pengasas Lead UP Malaysia Sangheta Jeyakumar.

“Seragam sekolah ini disumbangkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan ia paling cepat diambil memandangkan sesi persekolahan akan bermula esok,” katanya ketika ditemui.

Program itu turut dihadiri EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau.

Beliau berkata program itu menerima sambutan menggalakkan hari ini apabila hampir 500 penduduk hadir dan jumlah pakaian ditambah dari semasa ke semasa.

“Setiap seorang yang datang mewakili satu keluarga. Sebab itu ada yang datang ambil 30 hingga 40 helai pakaian untuk isteri, ayah, emak dan anak,” kata Sangheta lagi.

Bazaar tersebut berlangsung selama dua hari sejak semalam dengan menyediakan pelbagai pakaian untuk mangsa banjir dan dibuka sehingga jam 4 petang ini.

EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau bersama Pengasas Lead UP Malaysia Sangheta Jeyakumar (kiri) memilih pakaian untuk diberikan kepada mangsa banjir ketika program Bazaar Pakaian Percuma di Kuil Sri Maha Mariamman, Taman Sri Muda, Shah Alam pada 9 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI