Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tinjauan: 62 peratus mangsa bah di Klang kembali normal tidak sampai sebulan

SHAH ALAM, 28 JAN: Tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati ramai mangsa bah di daerah Klang kembali hidup seperti biasa tidak sampai sebulan selepas bencana 18 Disember lalu.

Menurut surat berita jabatan itu, kehidupan 62 peratus penduduk kembali normal, 15.3 peratus lagi mengambil masa satu hingga tiga bulan, 12.8 peratus (tiga-enam bulan) dan 9.9 peratus (lebih enam bulan).

Tinjauan yang dibuat antara 10 hingga 14 Januari lalu juga mendapati:

– purata mengalami kerugian RM14,058 dengan pecahan: 32.7 peratus kurang RM5,000, 30 peratus (RM5,000-RM9,999) dan 22.5 peratus (RM10,000-RM19,999)

– purata kerugian akibat kerosakan kediaman RM7,627 dengan pecahan: 66 peratus kurang RM5,000, 16.2 peratus (RM5,000-RM9,999) dan 10.2 peratus (RM10,000-RM19,999)

– kerugian purata akibat kerosakan kenderaan RM5,355 dengan pecahan: 23.4 peratus kurang RM1,000, 31.8 peratus (RM1,000-RM2,999) dan 15.9 peratus (RM3,000-RM4,999)

– purata kerugian akibat kerosakan perabot, alatan elektrik, pakaian dan barangan lain RM7,134 dengan pecahan: 66 peratus kurang RM5,000, 16.2 peratus (RM5,000-RM9,999) dan 10.2 peratus (RM10,000-RM19,999)

– purata kos pembersihan pascabanjir RM1,179 dengan pecahan: 98.4 peratus memerlukan kurang RM2,500, manakala 1 peratus lagi (lebih RM10,000)

DOSM juga mendapati 92 peratus tidak mempunyai perlindungan insurans bencana bagi perumahan, 86 peratus (kenderaan), kelengkapan rumah (99 peratus) dan peribadi (85 peratus)

Tinjauan sama menunjukkan 34.2 peratus mempunyai simpanan kecemasan kurang RM1,000, sementara 35.8 peratus lagi (RM1,000-RM4,999), 11.9 peratus (RM5,000-RM9,999) dan 18.1 peratus (RM10,000 dan lebih).

Dibuat melalui kaedah temuramah bagi mengukur dampak banjir dari segi kos kerosakan, dapatan lain seperti berikut:

-93.2 peratus responden perlukan bantuan tunai, sementara 38.7 peratus perlu kelengkapan rumah

-60.9 peratus penduduk mengalami banjir antara satu hingga dua hari

-62.9 peratus berdepan masalah kenaikan air bah lebih tiga meter

Namun DOSM juga menjelaskan tinjauan ini bertujuan mengukur kesan banjir terhadap sebahagian penduduk Klang dan bukannya perangkaan rasmi jabatan tersebut.

Butiran lengkap tinjauan ini boleh disemak di Facebook Department of Statistics, Malaysia.