SHAH ALAM, 19 JAN: Program kaunseling bagi menjaga kesihatan mental dan emosi mangsa banjir akibat bencana tahun lalu antara tumpuan wakil rakyat Dusun Tua.
Edry Faizal Eddy Yusof berkata usaha itu bagi membantu penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit yang berdepan tekanan serta kebimbangan pascabah.
Beliau menjelaskan tindakan itu dibuat sebaik sahaja pembaikan infrastruktur dan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) selesai bagi mengelakkan mangsa dibelenggu ketakutan.
“Ada yang mendapat rawatan psikiatri di hospital. Mereka trauma, tidak boleh tidur terbayang banjir besar dan kebimbangan melampau. Selepas ini, kita akan fokus pada emosi mereka,” katanya.
Sementara itu, Edry Faizal berkata lebih 4,500 mangsa banjir selesai menerima bantuan negeri berjumlah RM1,000 untuk fasa pertama manakala baki diagih sebelum hujung bulan ini.
“Fasa kedua nanti tidak ramai, anggaran sekitar 100 individu sahaja. Harap bantuan ini meringankan beban mereka. Kita akan bantu sebaik mungkin,” katanya lagi.
DUN berkenaan antara lokasi yang mengalami kerosakan teruk akibat bah Disember tahun lalu selain Taman Seri Muda, Shah Alam dan Bukit Lanchong, Subang.