Categories
AGENDA NASIONAL

Tun M semakin pulih, pindah wad biasa

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Keadaan kesihatan Tun Dr Mahathir Mohamad semakin pulih dan telah dipindahkan ke wad biasa Institut Jantung Negara (IJN) hari ini, kata Datin Paduka Marina Mahathir.

Anak sulung bekas perdana menteri itu berkata Dr Mahathir yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Koronari IJN, kini ceria dan bersemangat untuk kembali pulih sepenuhnya.

“Daripada penilaian pasukan doktor pakar yang merawat Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau didapati semakin pulih,” kata Marina dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi mengelak jangkitan, kedua-dua Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tidak dibenarkan menerima pelawat di IJN ketika ini.

Marina berkata Dr Mahathir dan seluruh ahli keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan agar beliau sembuh sepenuhnya.

Sabtu lepas, Marina dalam kenyataan memaklumkan bahawa keadaan Dr Mahathir stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan 8 Jan lepas.

Sebelum ini, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 7 Jan bagi menjalani prosedur perubatan elektif sehari selepas itu dan dibenarkan keluar pada 13 Jan.

— BERNAMA