Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Usahawan Hijrah: Moratorium bantu pulih perniagaan, kehidupan pascabanjir

SHAH ALAM, 19 JAN: Moratorium bayaran pinjaman selama dua bulan yang dilaksana Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) amat membantu usahawan yang terjejas banjir.

Amirul Fadzli Raduan berkata penangguhan itu sedikit sebanyak membolehkan beliau baik pulih kediaman dan perniagaan yang hampir 100 peratus musnah akibat banjir.

“Hampir semua perabot dan barangan musnah ditenggelami bah termasuk ‘food truck’ (kendera saji) yang diberi Hijrah juga tenggelam banjir. Sedih sangat kerana sudah tiga tahun trak ini berjasa bantu saya cari rezeki.

Usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) Amirul Fadzli Raduan

“Saya bersyukur apabila pihak Hijrah mengumumkan penangguhan dua bulan. Jadi, duit yang sepatutnya bayar pinjaman dapat saya beli barangan lain seperti tilam, perabot dan peralatan berniaga,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Amirul yang tinggal di Taman Sri Nanding Hulu Langat itu mula berniaga makanan jepun takoyaki sejak tahun 2019 menggunakan kendera saji di sekitar kawasan perumahannya.

Baharu sahaja mendirikan rumah tangga November lalu, Amirul reda dengan ujian menimpa dan berhasrat memulakan kehidupan semula dengan berniaga secara kecil-kecilan terlebih dahulu selepas kendera saji siap dibaiki.

“Harap (kendera saji) boleh dibaiki kemudian boleh saya kembali berniaga seperti biasa,” katanya yang hanya berniaga makanan itu di depan rumah buat sementara waktu.

Beliau yang meminjam RM50,000 bagi tempoh tiga tahun mulai tahun ini turut menyifatkan proses berurusan dengan Hijrah amat mudah, cepat dan mesra pelanggan.

“Setiap minggu saya bayar RM250, Sebulan RM1,000. Alhamdulillah sangat apabila Kerajaan Negeri umumkan moratorium baru-baru ini. Jika tidak sukar juga untuk saya bayar balik,” katanya.

Pada 21 Disember, Dato’ Menteri Besar mengumumkan penangguhan bayaran pinjaman selama dua bulan kepada usahawan Hijrah Selangor yang terjejas akibat banjir.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata susulan pengumuman itu Hijrah Selangor perlu menanggung kesan kewangan sebanyak RM15 juta.