Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Wakil rakyat bersengkang mata selamat mangsa bah, terpaksa tidur tepi jalan

Bahagian kedua: Bot tersangkut dan batal lawatan kerja, wakil rakyat segera bantu mangsa bah

Bahagian ketiga: Wakil rakyat bingkas hulur bantuan, cekal hadapi rintangan di lokasi bah

Oleh NAZLI IBRAHIM, NADIAH ZAMLUS & AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 JAN: Tidak mampu lelapkan mata, itu kata EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Zawawi Ahmad Mughni setelah kawasannya Sungai Kandis ditenggelami banjir pada 18 Disember tahun lalu.

Menceritakan pengalamannya, Ahli Dewan Negeri (ADN) itu tidak betah duduk apabila hujan pagi 17 Disember masih tidak berhenti sehingga malamnya.

Melihatkan keadaan pasar malam lengang di Kampung Johan Setia, beliau segera membuat rondaan lantaran bimbang ada kawasan dinaiki air.

Tekaannya tepat, sekitar jam 10 malam penduduk kampung mengadu air memasuki rumah. Jangkaannya ia hanyalah banjir kilat biasa.

Ketika itu ada 10 penduduk sahaja dipindahkan di dewan kampung berkenaan dan lama-kelamaan lebih 100 orang berada di situ. Situasi makin meresahkan apabila paras air meninggi.

Ada penduduk mengadu barang mereka tidak dapat diselamatkan. Ada juga yang masih di kediaman dengan anggapan air akan surut.

Apabila tengah malam menjengah, Mohd Zawawi menerima aduan ada wanita berpantang terperangkap dalam rumah dengan air mencecah paras pinggang.

Tanpa bekalan elektrik, wakil rakyat itu membantu wanita bersama bayinya berusia tiga hari hanya dengan suluhan lampu telefon bimbit.

Pasukan sukarelawan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis mengharungi arus deras untuk membawa keluar penduduk terkandas dalam banjir di Kampung Johan Setia, Klang pada 18 Disember 2021. Foto ADN Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni

“Itu saat paling getir, keadaan memang gelap, samar-samar sahaja menggunakan cahaya lampu telefon bimbit. Jika salah langkah, kami mungkin terlepas bayi berkenaan. Namun Allah Maha Berkuasa, segalanya dipermudahkan,” katanya.

Mengakui tiada pengalaman apalagi kepakaran menangani banjir, sememangnya sukar mencari bot pada malam berkenaan bagi membantu mangsa terperangkap.

Mohd Zawawi berkata malam itu tidak terasa panjang. Sedar-sedar apabila azan subuh berkumandang, sebanyak 23 pusat pemindahan sementara dibuka, menempatkan 5,000 mangsa banjir.

Selain hujan lebat, daerah Klang termasuk beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain berdepan air laut pasang besar yang menjejaskan aliran keluar air banjir.

Selaras bantuan

Penduduk di kawasan pinggir Sungai Klang berdepan masalah berat ini mulai petang Jumaat, sementara penghuni di sepanjang Sungai Damansara mengalami bah besar keesokannya. Muara Sungai Damansara di Sungai Klang terletak betul-betul di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Dalam keadaan rumit itu, semua barisan EXCO Selangor, termasuk Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, tidak dapat melelapkan mata apabila air melimpah lanjut pada petang 18 Disember.

Wakil kawasan DUN masing-masing, dibantu ADN yang tidak terjejas banjir, berganding bahu menyelamatkan penduduk, selain menyelaras bantuan agar cepat sampai ke pihak memerlukan.

Kawasan DUN EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Kim (ADN Bandar Baru Klang), EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman (ADN Paya Jaras) Najwan Halimi (ADN Kota Anggerik), Azmizam Zaman Huri (ADN Pelabuhan Klang) dan Juwairiya Zulkifli (ADN Bukit Melawati) antara yang terjejas. Mereka terus bertarung meringankan beban penduduk sejak hari pertama.

Begitu juga ADN lain yang kawasannya tidak terjejas tetapi turun padang membantu rakan sejawat di kawasan dinaiki air seperti Chua Wei Kiat (ADN Rawang) dan Jamaliah Jamaluddin (ADN Bandar Utama).

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (ADN Batu Tiga) mengakui sudah biasa meranduk limpahan air banjir Sungai Rasau, berdekatan Padang Jawa, yang mengalir ke hilir Sungai Klang.

Air sampai bumbung

Padang Jawa di antara Klang-Shah Alam memang selalu dilanda banjir kilat. Namun banjir mulai pagi 18 Disember tidak seperti diduga, air sungai bukan sahaja naik mendadak tetapi arusnya deras dan menakutkan.

“Pengalaman paling tidak boleh dilupai apabila saya terpaksa redah arus laju dan mencari mangsa banjir masih terperangkap. Sebab ada juga tidak mahu keluar lagi.

“Saya ketuk pintu, ajak ke tempat selamat. Mungkin ada yang ingat ini banjir biasa. Walhal ada rumah yang sudah ditenggelami sampai bumbung,” katanya.

Rodziah menyifatkan situasi banjir bulan lalu luar biasa dan sehingga timbul rasa terkilan di dalam dirinya tidak dapat membantu semua mangsa bencana
tersebut.

“Ada isteri pesakit dialisis hubungi saya, minta kami datang bawa ubat dan bantu suaminya. Awalnya komunikasi kami lancar tetapi entah bagaimana mungkin bateri telefon wanita itu sudah habis, kami tidak dapat lagi berhubung.

“Sehingga hari ini saya masih bersedih kerana tidak tahu apa jadi dengan mereka. Saya masih terbayang-bayang dengan permintaan si isteri supaya selamatkan suaminya,” katanya hiba.

Sepanjang tempoh tiga hari genting itu, hingga 19 atau 20 Disember, beliau berasa cukup penat dan tidak menang tangan. Namun masih kuatkan semangat kerana sedar masih ramai memerlukan pertolongan untuk bangkit semula.

Wakil rakyat DUN Batu Tiga Rodziah Ismail menyerahkan pek penjagaan kebersihan diri kepada penduduk Seksyen 19, Shah Alam yang terjejas banjir pada 19 Disember 2021. Foto Facebook Rodziah Ismail

Bagi EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau, tragedi bah besar tahun lepas memang cukup mencemaskannya. Mengimbau peristiwa lewat petang Jumaat, beliau berkata air banjir naik sangat cepat. Lebih meresahkan ADN Kota Kemuning, pada awalnya beliau nampak usaha menyelamat masih kurang.

Terdesak untuk mengeluarkan orang terperangkap, beliau menggunakan duit sendiri sebanyak RM14,000 bagi membeli dua bot berenjin demi membantu mangsa.

Dua malam beliau tidak pulang ke rumah, cuma sekejap melelapkan mata di dalam kereta. Sepanjang tempoh bah, hanya sekali sahaja Ganabatirau pulang ke rumah, itupun untuk membersihkan diri.

Beliau juga menyediakan sebanyak mungkin makanan untuk sukarelawan, pasukan keselamatan dan mangsa yang rata-ratanya meninggalkan rumah sehelai sepinggang.

“Saya tempah 600 nasi bungkus daripada sebuah restoran India Muslim tetapi dia bagi saya 4,000 bungkus. Rupa-rupanya dia juga mahu menolong,” katanya.

ADN Dusun Tua Edry Faizal Yusof pula hampir menjadi bidan bersalin ketika banjir melanda kawasannya pada 18 Disember lalu

Kejadian itu berlaku selepas beliau dan pasukannya membawa wanita sarat mengandung keluar dari kawasan dilimpahi air di Pekan Batu 14, Hulu
Langat.

Setibanya di kawasan selamat di kaki Bukit Ampang, wanita itu mengadu beliau sudah mahu bersalin.

“Saya panik. Temankan isteri bersalin memang pernah tetapi tidak pernah jadi bidan. Saya cuma dapat suruh kakak itu kawal pernafasan dan hendak bawa dia ke hospital naik kereta saya.

“Syukur pada masa itu ambulans Jabatan Pertahanan Awam tiba dan bawa dia ke hospital,” ceritanya.

Nyaris jadi bidan

Sepanjang tempoh bencana, Edry Faizal dan pasukannya membantu mangsa dari malam hingga ke pagi Ahad.

Ketika itu pasukan keselamatan banyak tertumpu di Shah Alam dan Klang, menyebabkan hanya dua sampan diperoleh dan sebuah bot sukarelawan untuk operasi di Pekan Batu 14 dan sekitar Taman Sri Nanding.

“Kami berada di Pekan Batu 14 sepanjang malam hinggalah ke pagi, sampailah terpaksa baring di tepi jalan. Pada jam 7 pagi, barulah nampak bot penyelamat pasukan polis,” katanya.

Ketika itu masalah komunikasi merumitkan keadaan sehingga tidak mendapat sebarang berita dari Batu 16 hingga ke Sungai Lui, dua lagi kawasan Hulu Langat yang terjejas teruk.

Norsila Zulkamal, 50, sedih melihat banyak barang miliknya rosak akibat dilanda banjir di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Kajang pada 20 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Selepas banjir surut, timbul pula masalah kerja pembersihan apabila jalan kecil di kawasan berkenaan menjadi terlalu sesak dengan kehadiran orang ramai yang ingin membantu.

Keadaan itu menyebabkan setiap lori sampah mengambil masa lebih kurang dua jam untuk membawa tong sampah pukal ke tempat pembuangan sampah.

Bagaimanapun, mesyuarat pasukan khas pascabanjir dipengerusikan Mohd Khairuddin, yang dilantik penyelaras operasi banjir Hulu Langat, berjaya menyusun kerja pembersihan, baik pulih infrastruktur dan sukarelawan. Selepas itu operasi pascabanjir berjalan lancar.

Edry Faizal menyifatkan walaupun banjir di Hulu Langat cepat surut berbanding di Shah Alam dan Klang tetapi rempuhan bah besar itu memberi kesan cukup mendalam kepada mangsa.

ADN Meru pula terpaksa menyewa tujuh lori sambil dibantu pacuan empat roda demi menyelamatkan mangsa terperangkap selepas hampir 80 peratus kawasannya ditenggelami air.

Menceritakan detik duka pada 17 Disember lalu, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata pihaknya terpaksa menguruskan semua kemudahan dengan bantuan orang awam bagi memindahkan penduduk.

“Terpaksa menyewa beberapa lori untuk mengangkut mangsa-mangsa tersekat sehingga lewat malam sambil dibantu Rela dan sukarelawan warga Meru yang mempunyai kenderaan berat,” katanya.

Bersyukur tiada mangsa terkorban sepanjang bencana itu, beliau kini berusaha memastikan semua mangsa mendapat bantuan RM1,000 masing-masing disediakan Kerajaan Negeri dan kerajaan persekutuan.

“Ada mangsa terperangkap menyangka akan mati lemas kerana tiada bantuan, namun kita berjaya menyelamatkan mereka,” katanya.