SHAH ALAM, 12 JAN: Seorang wanita yang berduka akibat kehilangan kereta baharu apabila dibawa arus banjir di Kampung Sungai Lui Batu 19, Hulu Langat, Disember lalu kini kembali mengukir senyuman.
Ia berikutan sebuah syarikat pengendali pasaran kereta terpakai Asia Tenggara, Carsome tampil memberi kejutan dengan menyumbang kenderaan terpakai model Proton Saga kepada Nuarjan Sulaiman, 36, hari ini.
Ibarat mimpi menjadi kenyataan, ibu tiga cahaya mata itu mengakui terperanjat sebaik dihubungi pihak terbabit untuk menggantikan kereta Perodua Bezza miliknya yang gagal diselamatkan dalam insiden pada 18 Disember tahun lalu.
“Mula-mula macam tak percaya ada insan yang sudi nak beri kereta. Bila dah dapat, rasa sangat gembira dan kereta ini akan memudahkan pergerakan kami sekeluarga.
“Saya berterima kasih kepada Carsome dan rakyat Malaysia yang turut mendoakan rezeki kami. Anak-anak belum tahu, jadi ini juga kejutan buat mereka,” katanya.
Nasib dialami Nuarjan menjadi bualan warga maya susulan kereta baharu dibeli tiga bulan hasil simpanan bersama suami selama lapan tahun termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hilang sekelip mata akibat banjir.
Lebih memilukan apabila kereta berkenaan ditemui 100 meter dari lokasi asal dalam keadaan rosak teruk serta bahagian bonet belakang dan cermin sisi tercabut.
Sebelum ini wanita terbabit hanya menaiki motosikal suami atau meminjam kereta orang lain jika mahu ke mana-mana.
Video boleh ditonton melalui pautan ini: https://www.youtube.com/embed/Qirh1DsMHgk