Categories
AGENSI SELANGOR

Warga emas OKU, pesakit buah pinggang syukur LZS tanggung kos baiki rumah

SHAH ALAM, 12 JAN: Tiada apa mampu diungkapkan selain rasa syukur seorang warga emas kelainan upaya (OKU) apabila rumahnya yang rosak teruk akibat banjir bulan lepas akan dibaik pulih.

 

Sewah Samidjo

Sewah Samidjo, 64, yang kudung kedua-dua belah kaki sejak lahir terharu atas komitmen Lembaga Zakat Selangor (LZS) membaiki kediaman dihuni lebih 20 tahun lalu dekat Kampung Bukit Lanchong di sini.

Lebih menggembirakan bapa dua anak, pembaikan rumah dijangka bermula bulan depan akan mengikut spesifikasi yang lebih mesra OKU sekali gus memudahkan pergerakannya dengan kerusi roda.

“Syukur sangat-sangat sebab mereka (LZS) nak baiki semula. Kalau ikutkan memang tak mampu  guna wang sendiri untuk buat semua ini, keadaan rumah pun sangat kritikal akibat ditenggelami air.

“Sebagai asnaf fakir yang berdaftar dengan LZS sejak sekian lama, saya akui bantuan amat mudah diperoleh kerana paling penting kena ikut prosedur.

“Saya berterima kasih kepada LZS yang selama ini banyak membantu dari segi ubat-ubatan, kerusi roda, makanan asas, wang belanja dan sekarang baik pulih rumah pula,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Sewah antara 25 asnaf fakir di kampung berkenaan yang dikenal pasti layak mendapat bantuan baik pulih rumah pascabanjir.

Abdul Rahman Othman

Sementara itu, Abdul Rahman Othman, 53, berharap baik pulih rumah disegerakan demi keselesaan keluarga terutama isterinya Rosidah Dahlan, 53, yang menderita sakit buah pinggang sejak lima tahun lepas.

Bapa lima anak berkata tragedi 18 Disember lalu akan terus terpahat dalam ingatan berikutan seluruh harta benda termasuk 36 kotak ubat isterinya hanyut dibawa arus banjir.

“Penderitaan dialami kami hanya tuhan yang tahu. Saya terpaksa mencari tangki hitam besar untuk meletakkan isteri kerana dia kurang sihat sebelum dibawa ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Megah 2.

“Alhamdulillah, sekarang semuanya dalam keadaan baik cuma rumah kami masih serba kekurangan dan kalau boleh dibaiki dengan cepat lagi bagus,” katanya