Categories
EXCO SELANGOR

128 organisasi, persatuan dipilih laksana program lestari alam sekitar

SHAH ALAM, 14 FEB: Sebanyak 128 organisasi dan persatuan dipilih menyertai Program Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Selangor bagi 2021/2022.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata kesemua organisasi dan persatuan akan melaksanakan program yang memberi impak dalam kelestarian alam sekitar.

“Sebanyak 320 permohonan diterima sejak penyertaan dibuka pada 1 Disember lalu dan 128 penyertaan diluluskan. Terdapat permohonan ditolak kerana tidak memfokuskan kepada alam sekitar dan teknologi hijau.

“Antara permohonan yang diterima berkaitan kelestarian alam seperti bersihkan sungai dan pantai, seminar pendidikan alam sekitar dan utama penanaman pokok,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Selangor bagi 2021/2022 di Foyer SUK hari ini.

Loy Sian berkata Program Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Selangor merupakan inisiatif menyokong agenda negeri ke arah melestarikan alam sekitar bagi menangani isu pemanasan global, pencemaran udara dan air.

“Objektif program ini membantu komuniti untuk mengakses pembiayaan bagi projek-projek yang inovatif agar kesedaran mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar dipertingkatkan serta menggalakkan penggunaan teknologi hijau di dalam kehidupan harian,” katanya.

Tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM1.3 juta iaitu bagi Geran Kecil Alam Sekitar setiap organisasi dan persatuan menerima pembiayaan maksima sebanyak RM10,000 manakala Geran Teknologi Hijau pula RM20,000.