Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

26,701 jangkitan baharu Covid-19, hanya 118 kategori serius

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Kes baharu Covid-19 yang dicatatkan semalam adalah 26,701 menjadikan jumlah kumulatif setakat ini 3,138,215 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak 26,583 orang atau 99.56 peratus berada dalam kategori satu dan dua manakala 118 kes atau 0.44 peratus kategori tiga, empat dan lima.

“Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 26,569 adalah kes tempatan manakala 132 lagi kes import,” katanya dalam kenyataan perkembangan Covid-19, hari ini.

Sebanyak 11,744 kes sembuh direkodkan menjadikan kumulatif kini 2,888,194, selain kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 216 orang dengan 141 memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata 19 kluster baharu dikenal pasti dan jumlah kluster yang masih aktif adalah 481.

Beliau berkata kadar kebolehjangkitan (Rt) dalam negara adalah 1.32 dengan Labuan mencatat nilai tertinggi iaitu 1.96 diikuti Sarawak 1.56 dan Sabah 1.51.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata penggunaan katil ICU bagi kes Covid-19 di dua negeri iaitu Johor dan Kelantan masing-masing berada pada tahap 65 peratus dan 50 peratus.

Beliau berkata bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), lapan negeri menunjukkan peratusan lebih 50 peratus dengan Perak mencatatkan kadar 74 peratus diikuti Negeri Sembilan 73 peratus.

Bagi katil bukan ICU pula, sembilan negeri mencatatkan pengisian lebih 50 peratus iaitu Perak (99 peratus), Kelantan (96), Selangor (93), Perlis (93), Putrajaya (85), Kuala Lumpur (84), Johor (80), Sabah (79) dan Pahang (51).

“Secara keseluruhannya, kapasiti fasiliti kesihatan di hospital awam masih boleh menampung kes Covid-19 dan bukan Covid-19, namun setiap negeri telah bersiap siaga dengan pelan tindak balas segera sekiranya didapati kapasiti fasiliti semakin penuh,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kes Covid-19 yang dimasukkan ke hospital semalam adalah 1,469 dengan 947 kes (64.5 peratus) adalah kategori satu dan dua manakala 522 kes (35.5 peratus) kategori tiga, empat dan lima.

Beliau berkata terdapat kes Covid-19 kategori satu dan dua yang memerlukan kemasukan secara pre-emptive ke PKRC dan hospital antaranya disebabkan medical emergency seperti penyakit kencing manis, darah tinggi yang tidak terkawal serta baru dikenal pasti menghidap penyakit tidak berjangkit yang tidak terkawal.

– BERNAMA