Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

33 masjid, 70 surau rosak akibat bah sudah dibuka

SHAH ALAM, 10 FEB: Sebanyak 33 masjid dan 70 surau di negeri ini yang terkesan banjir pada Disember lalu sudah dibuka seawal dua minggu selepas bencana melanda.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata kerosakan yang berlaku dibaiki dari semasa ke semasa tanpa menjejaskan aktiviti di masjid dan surau.

“Semuanya sudah dibuka cuma beberapa kerosakan sedang kita baiki namun semuanya berjalan lancar dan ditangani dengan baik.

“Kesan banjir ini tidak menghalang aktiviti jemaah kerana kita bagi ruang solat untuk sementara waktu. Selepas tempat rosak sudah dibaiki, kita buka semula,” katanya ditemui pada Majlis Penyerahan Masjid Setia Alam di sini, hari ini.

Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Pada 28 Januari Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntuk RM7.5 juta bagi membantu 150 masjid, surau dan sekolah agama di negeri ini yang terjejas banjir.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M. Yusop berkata sumbangan itu bagi menggantikan karpet, peralatan masjid, perabot sekolah dan buku teks yang musnah.