SHAH ALAM, 14 FEB: Sebanyak 400 tiket perlawanan hari pertama Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 esok habis dijual kurang dari 10 minit.
Setiausaha jawatankuasa penganjur Mohamad Nizam Marjugi berkata tiket dijual dalam talian pada 12 tengah hari tadi dan semua habis ditempah sembilan minit kemudian.
“200 tiket perlawanan sesi petang terjual dalam tempoh enam minit manakala penjualan semua 200 tiket sesi pagi selesai pada 12.09 tengah hari.
“Tempoh singkat (penjualan) ini bukti ramai yang mahu menyaksikan perlawanan namun kita terikat dengan tatacara operasi piawai (SOP) susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini,” katanya kepada SelangorKini.
Sebelum ini penganjur merancang untuk membenarkan kehadiran 1,000 penonton di gelanggang perlawanan.
Sementara itu Mohamad Nizam yang juga pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata jualan tiket setiap sesi dibuka sehari sebelum pertandingan menerusi https://selangorbatc2022.com bermula 12 tengah hari hingga 11.59 malam.
“Tiket perlu dibawa bersama kad pengenalan atau passport sebagai bukti pembelian. Pembeli harus imbas aplikasi MySejahtera, memakai pelitup muka dan jaga penjarakan fizikal.
“Hanya penonton lengkap vaksinasi dibenarkan masuk dan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dilarang,” katanya.
Selangor buat julung kali menjadi tuan rumah BATC 2022 sehingga Ahad ini yang diselaraskan MSN Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia.
Selain Malaysia, negara lain yang turut bertanding ialah Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan.