Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

4,000 rumah mangsa bah Hulu Langat dibaik pulih, 17 bina semula

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Kira-kira 4,000 kediaman yang terjejas akibat banjir di Hulu Langat pada Disember tahun lalu akan dibaik pulih manakala 17 unit rumah dibina semula, kata pegawai daerahnya.

Dr Ani Ahmad berkata kerja berkaitan dilaksanakan melalui bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Pembinaan baharu dikhususkan untuk rumah yang musnah dan hanyut sepenuhnya selain melihat status tanah rumah terbabit. Begitu juga rumah mengalami kerosakan kecil di bawah RM5,000 akan diberi bantuan melalui pihak berkaitan.

“Saya harap segala perancangan program pascabanjir ini dapat dilaksanakan sebaiknya bagi menjamin keselesaan penduduk. Malah, setiap dua minggu saya akan memanggil semua agensi terbabit untuk maklumkan status semasa apa yang berlaku di sana (Hulu Langat),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis makan malam meraikan sukarelawan banjir di International Youth Club Bandar Tun Razak, Cheras dekat sini malam tadi.

Pada 3 Februari lalu, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 10,510 rumah mangsa terjejas bencana seluruh negeri ini akan dibaik pulih dan 44 dibina baharu.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pembaikan dan pembinaan semula mengambil kira jenis serta tahap kerosakan rumah mangsa yang diselaras EXCO Perumahan Rodziah Ismail.