Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

40,000 pelajar terkesan bah dapat bantuan sekolah RM100

SHAH ALAM, 3 FEB: Kerajaan Selangor mengagihkan bantuan persekolahan kepada kira-kira 40,000 pelajar negeri ini yang terkesan banjir besar pada Disember tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan agihan baucar bernilai RM100 akan diberikan berperingkat mulai minggu ketiga Februari.

Menurutnya, bantuan baju, seluar, kain, stokin dan kasut melibatkan pelajar sekolah rendah, menengah dan sekolah Jabatan Agama Islam Selangor.

“Insya-Allah mereka dapat sumbangan bernilai RM100 untuk ditebus di pusat penyampaian yang akan diumum nanti antara 18 hingga akhir Februari,” katanya.

Bercakap dalam sidang media Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor hari ini, Amirudin berkata bantuan itu diselaras dengan bantuan lain oleh badan tertentu.

“Sekarang kita sedang kenal pasti dan menyemak semula senarai (murid) dari Jabatan Pendidikan Daerah dan pejabat Pusat Khidmat Masyarakat,” katanya lagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Antara yang terkesan teruk ialah Taman Sri Muda, Shah Alam apabila seramai 4,276 mangsa banjir diselamatkan dengan 4,080 dihantar ke 18 pusat pemindahan sementara.