Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, permaisuri zahir takziah pemergian bekas atlet angkat berat Darus Abdullah

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas atlet angkat berat negara, Darus Abdullah, yang meninggal dunia semalam.

Turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Darus ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” menurut catatan itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara.

Allahyarham yang berasal dari Selangor pernah mewakili negara pada Kejohanan Sukan SEA 1989 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

— BERNAMA