Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Ahli ekonomi unjur bonus Tabung Haji tiga peratus di balik pasaran mencabar

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Selepas pengumuman dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 pada akhir tahun lepas, tumpuan kini terarah kepada agihan keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) yang dijangka diumumkan pada suku pertama tahun ini.

Persoalan yang berlegar dalam kalangan penyimpan ialah sama ada kadar agihan keuntungan selepas zakat kali ini lebih baik atau tidak jauh berbeza dengan 2019 dan 2020, iaitu sekitar 3.0 peratus.

“Agihan keuntungan TH sentiasa menjadi tumpuan penyimpan kerana sebelum 2018, TH sentiasa memberikan kadar agihan keuntungan yang tinggi terutama sejak 2007, iaitu 5.0 hingga 8.25 peratus, satu kadar yang jarang dapat ditandingi oleh pelaburan tetap lain kecuali ASB, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Bank Rakyat.

“Namun bermula 2018, peratusan agihan keuntungan hanya sekitar 1.25 dan 3.1 peratus disebabkan isu rosot nilai dan tadbir urus. Bagaimanapun itu tidak menghalang penyimpan daripada berharap agihan keuntungan TH kembali seperti dulu,” kata penganalisis ekonomi Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff kepada Bernama.

Selain itu katanya penyimpan tertunggu-tunggu pengumuman tersebut kerana simpanan TH boleh dikeluarkan pada bila-bila masa dan tanpa had, sekali gus dapat membantu pendeposit yang berdepan masalah kewangan pada kadar segera.

Jelas beliau, ini berbeza dengan KWSP yang hanya boleh dikeluarkan selepas pencarum bersara sementara pengeluaran ASB pula hanya boleh dibuat pada waktu pejabat, sama ada di pejabat KWSP, bank tertentu atau pejabat pos.

Di sebalik keadaan ekonomi semasa yang masih belum memberangsangkan, ada yang percaya TH akan memberikan agihan keuntungan lebih tinggi tahun ini mengambil kira institusi itu tidak menghantar jemaah haji pada musim lepas.

Terima hakikat

Merungkai persoalan itu, pakar ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) Prof Dr Barjoyai Bardai berkata pendeposit perlu menerima hakikat bahawa simpanan mereka yang juga berbentuk pelaburan, terdedah kepada persekitaran yang kekal mencabar sepanjang tahun lepas akibat Covid-19.

“Saya jangka TH akan cuba sedaya upaya untuk mengisytiharkan kadar agihan keuntungan dalam lingkungan tiga peratus berbanding 3.10 pada 2020.

“Jika kita bernasib baik TH mungkin boleh mengekalkan kadar agihan keuntungan pada 3.10 peratus seperti tahun lepas dan ini boleh dianggap sebagai prestasi terbaik yang boleh dijangkakan.

“Tetapi saya tidak hairan sekiranya TH hanya berupaya mengisytiharkan kadar agihan keuntungan lebih rendah antara 2.7 dan 2.9 peratus untuk 2021,” katanya.

Jelas beliau, ini berdasarkan prestasi TH yang mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 2.2 peratus kepada RM1.22 bilion dalam tempoh enam bulan pertama 2021, berbanding RM1.25 bilion bagi tempoh sama pada 2020.

Penurunan keuntungan itu berikutan keadaan pasaran dunia yang mencabar, sekali gus memberikan impak kepada aktiviti pelaburan TH dalam sektor antaranya hartanah, pasaran ekuiti dan perladangan kelapa sawit, kata beliau, menambah pelaburan dalam hartanah kekal malap akibat Covid-19 dan penutupan ekonomi.

Menurut Barjoyai, sekalipun separuh tahun pertama 2021 menunjukkan persekitaran ekonomi yang baik dengan ekonomi negara tumbuh 6.1 peratus pada Mac, 39.7 peratus pada April dan 19.3 peratus pada Mei, negara mencatatkan perkembangan negatif bermula Jun.

“Pertengahan tahun kedua, ekonomi terus menurun dengan mencatatkan pertumbuhan negatif 7.8 peratus pada Julai, -4.7 peratus (Ogos) dan -2.1 peratus (September). Ekonomi dianggarkan meningkat sedikit pada November tetapi turun kembali pada Disember,” katanya.

Barjoyai berkata secara keseluruhan, persekitaran ekonomi negara pada 2021 adalah lebih mencabar, khususnya pada separuh kedua dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berlegar antara 1,534 dan 1,543 mata, membayangkan jajaran pasaran yang sempit serta tidak aktif berbanding setengah tahun pertama.

Jimat subsidi haji?

Walaupun ramai mengetahui akan kesan pandemik itu, masih ada yang berpendapat TH mampu memberikan kadar keuntungan yang tinggi memandangkan agensi pengurus dana haji rakyat Malaysia tersebut tidak menghantar jemaah mengerjakan haji pada musim 2021 yang lalu.

Bersandarkan laporan media bahawa TH membelanjakan sekitar RM400 juta setahun dalam bentuk subsidi haji, mereka berhujah TH boleh menggunakan penjimatan untuk 2021 tersebut bagi membayar agihan keuntungan yang lebih baik.

“Penjimatan RM400 juta itu sebenarnya merupakan penjimatan kasar berasaskan pada kos melepas. Sebenarnya, TH juga mengalami kerugian disebabkan penangguhan sesi haji untuk 2021 kerana TH sudah membayar komitmen dan deposit untuk persiapan haji bagi tahun berkenaan.

“Angka kerugian ini adalah besar berbanding dengan kos mengerjakan haji. Katakanlah TH menikmati penjimatan bersih RM200 juta daripada penangguhan musim haji 2021, angka itu hanya akan menyumbang kira-kira 0.24 peratus kepada pendapatan tambahan,” jelas Bardoyai.

Pandangan serupa turut dinyatakan oleh Ahmed Razman yang berkata sekalipun ada penjimatan subsidi haji, majoriti pelaburan TH adalah dalam pasaran domestik sama ada ekuiti ataupun hartanah.

Ditambah pula FBM KLCI pada 2021 tidak mencatatkan pertumbuhan positif dan ini sedikit-sebanyak merencatkan pulangan ke atas pelaburan TH, sekali gus memberi kesan terhadap agihan keuntungan, jelas penganalisis ekonomi daripada Putra Business School itu.

“Saya jangkakan kadar agihan keuntungannya sekitar 3.10 peratus, sama seperti 2020 yang mana TH mungkin memerlukan sekitar RM2.3 bilion bagi tujuan tersebut. Jangkaan ini atas pelbagai faktor seperti kadar simpanan tetap yang merosot pada 2021 hingga bawah dua peratus berbanding purata tiga peratus pada 2020, dan ini memberi impak besar kerana 52 peratus pelaburan TH adalah daripada pendapatan tetap.

Keadaan di Madinah tenang ketika menunggu jemaah haji dari seluruh dunia tiba ketika tinjauan pada 10 Julai 2019. Foto BERNAMA

“Selain itu, prestasi pasaran ekuiti yang merudum juga menyebabkan TH menjadi lebih konservatif dalam mencatatkan rosot nilai ke atas asetnya, tertakluk kepada piawaian pelaporan kewangan antarabangsa,” hujah beliau.

Biarpun TH turut mempunyai pelaburan luar negara yang kebiasaannya memberi pulangan lebih tinggi, Ahmed Razman berkata peratusan pelaburan TH untuk segmen itu hanyalah sekitar lima peratus, sekali gus tidak mampu memberi lonjakan yang tinggi kepada prestasi keseluruhan institusi.

Pelaburan legasi lama

Pemerhati ekonomi daripada Universiti Kuala Lumpur Business School Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid turut mengunjurkan kadar agihan keuntungan selepas zakat pada 3.10 peratus, iaitu menyamai kadar pada 2020.

“Unjuran ini berdasarkan pencapaian pendapatan TH untuk enam bulan pertama 2021 yang sedikit rendah (menguncup 1.4 peratus) berbanding (tempoh sama) 2020.

“Namun, pembukaan ekonomi pada suku keempat 2021 dan kenaikan harga minyak sawit melebihi RM5,000 satu tan memberikan kesan positif dan boleh memberi suntikan peningkatan kepada TH bagi tempoh enam bulan kedua. Ini dijangka mengimbangi prestasi enam bulan pertama dan kembali ke paras pulangan tahun 2020,” jelas beliau.

Aimi Zulhazmi juga berkata penjimatan sebanyak RM400 juta daripada penangguhan penghantaran jemaah haji hanyalah jumlah yang kecil, iaitu 0.46 peratus daripada jumlah aset TH, justeru tidak memberi kesan langsung yang besar kepada pulangan aset institusi tersebut.

Selain itu, beliau juga mendasari unjurannya pada keseluruhan aset TH bernilai RM85.92 bilion, melebihi liabiliti yang bernilai RM83.73 bilion pada 30 Jun 2021, sementara kos operasi juga hampir sama dengan kos tahun sebelumnya.

Jelas beliau lagi, sekalipun TH menstrukturkan semula portfolio pelaburannya pada 2018 dengan memindahkan pelaburan tidak memuaskan bernilai RM19.9 bilion kepada syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan, TH tetap bertanggungjawab terhadap pelaburan legasi lama tersebut.

Fahami tujuan asal

Sementara itu, pensyarah kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Mohd Ali Muhamad Don berkata masyarakat Islam perlu memahami bahawa tujuan utama penubuhan TH bukanlah sebagai institusi kewangan atau pelaburan.

Sebaliknya ia bermatlamat menyediakan kemudahan menyimpan wang untuk menunaikan haji, menyediakan perkhidmatan kepada jemaah haji selain melibatkan umat Islam dalam penanaman modal dan penjanaan keuntungan untuk manfaat bersama.

“Keuntungan pelaburan TH dalam bidang pertanian, hartanah dan lain-lain akan dipulangkan semula kepada pendeposit untuk membiayai sebahagian kos pelaksanaan haji secara muassasah, meliputi kos penerbangan, pengangkutan, penginapan, makanan, kaunter kewangan, perubatan, khemah ibadat masyair, bimbingan haji, petugas haji, mutawif dan perkhidmatan kaunseling di tanah suci Makkah dan Madinah dengan kadar pengurangan berjumlah RM9,980 berbanding jumlah asal RM22,900 untuk yang pertama kali menunaikan haji,” katanya.

Justeru, beliau berkata amat penting untuk umat Islam memahami tujuan penubuhan TH dan mengikhlaskan niat menyimpan di TH untuk ke Tanah Suci serta tidak mengharapkan keuntungan duniawi semata-mata.

Katanya, pendeposit juga perlu memahami bahawa agihan keuntungan TH bukanlah satu kemestian kerana dalam konteks TH, agihan keuntungan merujuk kepada agihan sebahagian atau keseluruhan keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik dana dan merupakan hadiah yang tidak disyaratkan.

Ini termaktub dalam kontrak simpanan wakalah (perwakilan), iaitu TH adalah wakil untuk menguruskan dana pendeposit bagi tujuan aktiviti pelaburan dan pengurusan haji, sementara keuntungan daripada pelaburan tersebut akan diagihkan kepada pendeposit setelah mengambil kira kos haji, zakat dan kos pengurusan TH.

“Dengan memahami konsep agihan keuntungan TH, diharapkan pendeposit tidak hanya mengharapkan pulangan berbentuk agihan keuntungan sahaja tetapi lebih daripada itu, iaitu berharap untuk terlibat sama membayar zakat wang simpanan yang akan diagihkan kepada golongan asnaf selain dapat membantu sesama penyimpan untuk ke Tanah Suci.

“Moga-moga dengan cara ini dapat meningkatkan ekonomi ummah selain menyelesaikan kewajipan Rukun Islam yang kelima,” katanya.

-BERNAMA