Categories
AGENDA NASIONAL

Anggota polis patah kaki dirempuh kereta cuba lari sekatan jalan

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Seorang anggota polis parah selepas dirempuh sebuah kereta dalam sekatan jalan raya di Seri Kembangan, Serdang awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata dalam kejadian pada 1.50 pagi itu, Lans Koperal Meor Mohd Asri Meor Azlan Shah, 33, yang bertugas di Balai Polis Seri Kembangan, patah kaki kanan dan menerima enam jahitan di belakang kepala selain cedera di kedua-dua belah tangan.

“Beliau kini dirawat di Hospital Serdang dan dalam keadaan sedar serta stabil,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Anbalagan berkata bertindak atas maklumat, sepasukan anggota berjaya mengesan kenderaan terbabit dan menahan tiga suspek termasuk seorang wanita di depan sebuah kedai makan di Taman Serdang Perdana pada 3 pagi.

“Siasatan lanjut mendapati dua suspek lelaki berusia 29 tahun serta wanita berusia 24 tahun itu mempunyai kesalahan lampau membabitkan penyalahgunaan dadah dan ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis amfetamina, metamfetamina dan ketamin.

“Suspek lelaki yang merupakan pemandu kereta berkenaan pula mempunyai 16 saman trafik membabitkan kesalahan pandu laju, tidak mempunyai lesen memandu dan memotong barisan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 dan Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemandu kereta berkenaan direman selama enam hari bermula hari ini manakala dua lagi suspek direman selama tiga hari,” katanya.

– BERNAMA