SHAH ALAM, 6 FEB: Tatacara operasi piawai (SOP) ketat wajar dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor tetapi pelaksanaannya harus adil kepada semua pihak termasuk pembangkang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengakui bimbang lonjakan kes Covid-19 kebelakangan ini, ketua pembangkang mengingatkan kerajaan persekutuan supaya tidak menggunakan SOP untuk menekan pembangkang.
“Mereka yang hendak pilihan raya kemudian ketatkan SOP. Dia (kerajaan) boleh kempen media, kita pergi minum kopi. Ini politik apa macam ini?
“Jangan guna ini (SOP) untuk beri menekan kita. Bagi ruang dengan buat syarat-syarat. Jangan buat macam (PRN) Melaka,” katanya selepas Majlis Apresiasi Sukarelawan Selangor di sini petang ini.
Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan mencadangkan kempen pilihan raya harus dibenar dengan syarat tertentu antaranya mengehad bilangan orang ramai di sesebuah dewan atau padang terbuka.
Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara hari ini melepasi paras 10,000 berikutan sebanyak 10,089 kes direkod berbanding 9,117 semalam.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin juga ada memaklumkan gelombang Omicron boleh melonjakkan bilangan kes kepada 15,000 sehari tidak lama lagi.