Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ayam RM8 sekilogram di Wisma PKPS, Pasar Borong Selangor mulai Isnin

SHAH ALAM, 5 FEB: Selangor menjual ayam standard dengan harga siling RM8 sekilogram selama dua minggu bermula Isnin ini bagi mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjualan melibatkan 50,000 ekor ayam itu dijalankan di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) serta Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan.

Jelasnya inisiatif menerusi Program Intervensi Harga Makanan Ehsan membabitkan dana RM1 juta itu akan dipanjangkan ke kawasan Dewan Undangan Negeri dan parlimen sekiranya mendapat sambutan memberangsangkan.

“Pusingan pertama ini hadkan dua ekor sahaja untuk seorang pembeli. Kita tak mahu penjualan ini digunakan untuk industri.

“Bekalan cukup kerana kita mempunyai ladang ayam yang mampu menghasilkan 540,000 ayam untuk tempoh tiga bulan,” katanya ketika melancarkan program berkenaan di Wisma PKPS hari ini.

Jelasnya sepanjang program berkenaan, PKPS turut menjual sayuran dan telur pada harga yang lebih rendah dari pasaran.

Sementara itu, Amirudin berkata orang awam tidak perlu gusar dengan bekalan ayam sempena Ramadan dan Aidilfitri akan datang kerana ia mencukupi.

“Yang jadi masalah adalah harga kerana ia membabitkan bahan mentah haiwan ini. Jadi kita perlu tangani isu teras ini dahulu.

“InsyaAllah cukup (di Selangor) cuma kita nak tengok harganya tidak naik melambung kerana rakyat berdepan situasi yang sukar dengan peningkatan harga barangan,” katanya.