Categories
AGENDA NASIONAL

Bah di Terengganu, Kelantan makin buruk, 7,557 mangsa pindah PPS

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dan Kelantan terus mencatatkan peningkatan pagi ini.

Di TERENGGANU, jumlah penduduk terjejas banjir meningkat kepada 4,335 orang daripada 1,287 keluarga pagi ini berbanding 3,334 orang daripada 931 keluarga malam tadi.

Ketika ini, terdapat 89 pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi di lapan daerah di Terengganu iaitu 22 di Setiu, Kemaman (21), Besut (19), Hulu Terengganu (14), Kuala Nerus (lima), Dungun (lima), Kuala Terengganu (dua) dan Marang (satu).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah tertinggi mereka yang dipindahkan ke PPS masih di daerah Kemaman iaitu 2,152 orang, diikuti Setiu (802), Hulu Terengganu (637), Besut (370), Kuala Nerus (173), Dungun (138), Kuala Terengganu (58) dan Marang (lima).

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal rasmi info banjir https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tujuh sungai di empat daerah masih melepasi paras bahaya pagi ini iaitu Sungai Nerus, Sungai Setiu dan Sungai Chalok di daerah Setiu; Sungai Berang dan Sungai Telemong (Hulu Terengganu), Sungai Besut (Besut) dan Sungai Kemaman (Kemaman).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,222 orang daripada 1,034 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 2,993 orang daripada 881 keluarga, semalam.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan sebanyak 33 PPS dibuka melibatkan lima jajahan iaitu 10 di Pasir Mas, masing-masing sembilan di Kuala Krai dan Tanah Merah, empat di Jeli manakala satu di Pasir Puteh.

Sementara itu, portal rasmi info banjir JPS memaklumkan dua sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Temangan, Machang dengan merekodkan bacaan 21.38 meter (m) dan Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (25.05 m).

— BERNAMA