Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir: 12 daerah Terengganu, Kelantan terjejas, 6,327 mangsa pindah PPS

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Sebanyak 12 daerah di Terengganu dan Kelantan kini terjejas akibat banjir dengan 6,327 orang ditempatkan di 103 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 9 malam ini.

Di TERENGGANU, lapan daerah yang terjejas akibat banjir iaitu Kemaman, Hulu Terengganu, Besut, Dungun dan Setiu termasuk tiga daerah baharu mula dilanda banjir sejak lewat petang tadi iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, seramai 3,334 individu daripada 931 keluarga ditempatkan di 71 PPS di seluruh Terengganu, dengan daerah Kemaman mencatatkan jumlah penduduk tertinggi terjejas akibat banjir.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir terus menunjukkan peningkatan setakat 9 malam ini, apabila seramai 2,993 orang daripada 881 keluarga berbanding 2,186 orang daripada 622 keluarga, petang tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) memaklumkan sebanyak 32 PPS dibuka melibatkan masing-masing sembilan di Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas manakala lima di Jeli.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiga sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Temangan, Machang merekodkan bacaan 22.05 meter (m), Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.08m) dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.4 m).

— BERNAMA