Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Jumlah PPS, mangsa di Kelantan, Terengganu meningkat

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Hujan lebat berterusan di Kelantan dan Terengganu mengakibatkan jumlah mangsa banjir dan pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu terus meningkat petang ini berbanding pagi tadi.

Di Terengganu, jumlah mangsa meningkat kepada 5,722 orang daripada 1,736 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 4,335 orang daripada 1,287 keluarga pagi tadi, melibatkan 102 PPS yang beroperasi.

PPS tersebut merangkumi lapan daerah di Terengganu iaitu Setiu dengan 25 buah , Besut (24), Kemaman (19), Hulu Terengganu (16), Dungun (11), Kuala Nerus (lima), Kuala Terengganu (satu) dan Marang (satu).

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, jumlah mangsa tertinggi masih di daerah Kemaman iaitu 1,924 orang, diikuti Setiu (1,039), Hulu Terengganu (1,001), Dungun (804), Besut (709), Kuala Nerus (202), Kuala Terengganu (38) dan Marang (lima).

Sementara itu di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 6,018 orang daripada 2,019 keluarga setakat 5 petang ini berbanding 3,222 orang daripada 1,034 keluarga, pagi tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan sebanyak 64 PPS dibuka melibatkan tujuh jajahan iaitu 16 di Kuala Krai, masing-masing 15 di Pasir Mas dan Tanah Merah, lapan di Jeli, enam di Pasir Puteh, tiga di Machang manakala satu di Kota Bharu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Penguasa Kanan Bomba II Mohd Wildan Azhari berkata sebanyak 12 operasi pemindahan dan menyelamat mangsa banjir telah dilaksanakan pihaknya melibatkan 52 mangsa, sejak Jumaat lepas.

-BERNAMA