Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bank Negara: Tempoh permohonan program Urus dilanjut hingga 31 Mac ini

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Keputusan melanjutkan tempoh permohonan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) sehingga 31 Mac ini dibuat selepas mengambil kira kesan banjir terhadap banyak isi rumah dan perniagaan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata sesetengah peminjam masih menghadapi kesukaran walaupun kebanyakan perniagaan telah kembali meneruskan aktiviti mereka dan apabila pasaran pekerjaan bertambah baik.

“Memandangkan ekonomi telah mula pulih, ia juga penting bagi kita untuk mengalihkan tumpuan untuk melaksanakan pembaharuan yang diperlukan untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan.

“Malaysia tidak mampu untuk terlepas peluang terutamanya jika kita mahu menjadi kompetitif pasca pandemik, sama ada dalam ekonomi hijau, pendigitalan atau daya tahan rantaian bekalan,” katanya pada sidang media maya selepas pengumuman keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku keempat 2021 semalam.

Permohonan untuk Urus dilanjutkan sehingga 31 Mac 2022 untuk pelanggan kumpulan pendapatan B50 yang layak dan mengikuti program bantuan banjir bank.

Nor Shamsiah berkata industri perbankan melanjutkan tempoh permohonan program Urus untuk memastikan sokongan terus tersedia kepada peminjam yang terjejas kerana mereka memerlukan lebih banyak masa untuk bangkit semula.

Sementara itu, Timbalan Gabenor Jessica Chew Cheng Lian berkata bank-bank akan terus mengadakan program penstrukturan semula yang berterusan untuk membantu peminjam yang terus menghadapi masalah kewangan.

“Ia tidak bermakna tiada bantuan untuk peminjam lain dan ia juga tidak bermakna sehingga akhir Mac ini, bagi mereka yang telah mengambil program bantuan banjir daripada bank, tidak akan ada bantuan lagi,” katanya.

Mengenai pinjaman tidak berbayar (NPL), Chew berkata bank pusat itu menjangkakan risiko kredit dapat diurus walaupun prospek masih kekal mencabar berikutan perkembangan pandemik.

Beliau berkata bank-bank sudah membina peruntukan yang besar setakat ini dan menjangkakan kebanyakan bank mengekalkan peruntukan itu tahun ini supaya ia dapat membantu menampung potensi kerugian kredit.

“Keduanya, memandangkan program bantuan pembayaran balik secara progresif akan berakhir, bank-bank juga semakin terlibat dengan peminjam,” tambahnya.

Sementara itu, bagi kumpulan peminjam yang paling rentan, beliau mengingatkan bahawa program bantuan pembayaran semula masih ada untuk mereka terutamanya program Urus.

-BERNAMA