Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bantuan bah RM1,000 tampung beli perkakas dapur, baiki kereta

SHAH ALAM, 3 FEB : Mangsa banjir di Taman Sri Muda menyifatkan bantuan banjir berjumlah RM1,000 menampung keperluan untuk membeli perkakasan dapur serta baik pulih kenderaan.

A Surendran, 32, berkata bantuan diterima menerusi insiatif Bantuan Selangor Bangkit (BSB) sedikit sebanyak dapat diguna untuk menggantikan mesin basuh yang rosak.

A Surendran. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Terima kasih Kerajaan Selangor beri kami wang tunai RM1,000. Kami juga menerima bantuan tambahan RM1,000 dari kerajaan persekutuan. Duit ini saya guna beli mesin basuh baharu,” katanya kepada SelangorKini.

Berkongsi pengalaman banjir Disember lalu, Surendran dan keluarga masih trauma serta risau apabila hujan sehingga terfikir untuk berpindah meskipun lebih 20 tahun menetap di kawasan tersebut.

“Walaupun rumah ini saya beli sendiri, peristiwa banjir  benar-benar memberi kesan kepada keluarga saya” katanya yang bekerja sebagai juruelektrik.

Rosmani Mahmood. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Manakala, suri rumah Rosmani Mahmood, 43, berkata bantuan Kerajaan Negeri dapat menampung membaik pulih dua kenderaannya yang rosak akibat banjir.

“Alhamdulillah walaupun kos baiki kenderaan lebih tinggi, setidaknya dapat menampung. Susah juga tiada kereta, tak dapat bergerak ke mana,” katanya yang lebih dua tahun menyewa rumah di Taman Sri Muda.

Sementara itu seorang peniaga, Ramli Shahril, 55, turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana mempermudah urusan permohonan bantuan banjir.

“Saya terima bantuan tunai awal Januari lalu, proses mudah dan cepat. Walaupun jumlah tidak sama dengan kerugian dialami tetapi saya tetap bersyukur.

Ramli Shahril. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Cuma saya memohon segerakan pemberian bantuan kerana masih ada mangsa banjir yang belum menerima,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan inisiatif BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember tahun lalu.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.