Categories
AGENDA NASIONAL

Bas terbabas akibat tumpahan minyak, empat pelajar USIM cedera

SEREMBAN, 8 FEB: Empat pelajar perempuan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) cedera selepas bas persiaran yang dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok dalam kemalangan di Bandar Baru Nilai, di sini pagi tadi.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Raihan Che Mat berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada kira-kira 7.40 pagi.

Beliau berkata empat pelajar tersebut masing-masing mengalami kecederaan di tangan dan di bahagian tulang belakang.

“Bas itu membawa 17 pelajar dan sedang dalam perjalanan ke USIM. Kami menerima laporan mengenai tumpahan minyak di atas jalan raya berhadapan McDonald’s di Bandar Baru Nilai…dan bas dipercayai terbabas kemungkinan berpunca daripada tumpahan minyak itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya kesemua pelajar itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dengan ambulans unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) dan Kementerian Kesihatan.

— BERNAMA