Categories
PBT SELANGOR

Bazar Ramadan: Petak niaga masih dibuka, mohon secara dalam talian

SHAH ALAM, 10 FEB: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) meluluskan 438 permohonan petak bazar Ramadan di 12 lokasi sejak dibuka secara dalam talian bermula 31 Januari lalu.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata sebanyak 153 permohonan lagi dalam senarai menunggu untuk proses kelulusan.

“Kita menyediakan 511 petak bazar sempena Ramadan tahun ini dan sehingga kini, tujuh bazar sudah penuh manakala lima lagi masih ada kekosongan.

“Mereka yang berminat boleh membuat permohonan sehingga esok. Keputusan diperoleh segera, namun pemohon perlu memenuhi kriteria seperti mengambil suntikan anti-typhoid (TY2) selain menjalani kursus pengendalian makanan,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata sebanyak 30 permohonan petak bazar Ramadan daripada jawatankuasa penduduk dan persatuan diterima sejak dibuka 24 Januari sehingga semalam.

Mohamad Zin Masoad turut memaklumkan kira-kira 2,234 petak bazar Ramadan disediakan di seluruh kawasan pentadbiran MPS setakat ini, namun jumlah sebenar akan dimuktamadkan kelak.

“Sebagai contoh, JKP mohon 44 petak tetapi inspektor kesihatan akan turun ke tapak terlebih dahulu untuk melihat kesesuaian dengan mengambil kira penjarakan fizikal dan tatacara operasi piawai (SOP).

“Jadi, besar kemungkinan jumlah petak diluluskan MPS akan berkurang daripada jumlah petak yang dimohon JKP dan peniaga,” katanya.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pula berkata sebanyak 1,800 petak bazar Ramadan disediakan di 39 lokasi bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.

Menurut Kamarul Izlan Sulaiman, sejak dibuka 15 Disember hingga 14 Januari lalu, pihaknya menerima 45 permohonan gerai Juadah Ramadan manakala lima lagi Karnival Ramadan.

“Bagaimanapun, jumlah kelulusan hanya akan diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan pada 15 Februari ini termasuk pertimbangan melanjutkan tempoh permohonan,” katanya.