Categories
AGENSI SELANGOR

Bermula sebagai hobi, pengusaha cenderahati jana pendapatan ribuan ringgit

SHAH ALAM, 26 FEB: Bermula sebagai hobi, siapa sangka seorang wanita berusia 26 tahun mampu menjana pendapatan ribuan ringgit setiap bulan menerusi penghasilan pelbagai kraftangan unik daripada damar.

Berbekalkan modal kurang RM1,000, Nurul Farah Shazleen Sarajuddin menghasilkan cenderahati seperti pengalas gelas, rantai kunci, sikat, rantai, pemegang telefon bimbit, anting-anting, pendant dan peralatan sulaman sejak akhir 2020.

Nurul Farah Shazleen Sarajuddin. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Menurut graduan Sarjana Reka Teknologi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, idea mencipta barangan daripada bahan tersebut tercetus apabila dia sering menonton video berkaitan yang dikongsi pengguna  aplikasi TikTok.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masa saya banyak dihabiskan  duduk di rumah dan melayari media sosial. Dari situ, saya lihat penghasilan cenderahati daripada damar seakan menjadi trend.

“Alhamdulillah, tidak sangka pula menjadi, malah selepas saya memasarkannya melalui platform e-dagang Shopee termasuk Instagram @paopaoartsy, ramai yang minat dan tempah,” katanya yang menjual produk berkenaan dari RM5 hingga RM20.

Nurul Farah antara 30 pempamer yang turut serta pada program Pasar Seni Genta anjuran Galeri Shah Alam dan Rumah Seni Selangor (RUSSEL) di perkarangan Laman Budaya Tasik Shah Alam dekat sini hari ini.

Berkongsi perancangan masa depan, anak bongsu daripada empat beradik  yang menetap di Setia Alam berhasrat membuka studio lebih besar dan mengadakan bengkel pembuatan kraftangan khusus untuk pelanggannya.

“Buat masa sekarang saya uruskan sendiri perusahaan ini di mini studio dalam rumah saya. Jadi, selepas ini kalau boleh saya mahu ada studio yang lebih selesa untuk buat kerja,” katanya yang juga pensyarah separuh masa di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka institusi sama.

Nur Hana Muhammad Fauzi. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pempamer Nur Hana Muhammad Fauzi, 22, pula memaklumkan lebih 800 lukisan cetak, pelekat, butang lencana dan kad foto berkonsepkan animasi berjaya dipasarkan melalui Shopee sejak aktif berkarya pada April tahun lepas.

Penuntut tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka dari UiTM Puncak Alam berkata kesemua karya animasi Tokyo Ravengers, Genshin Impact, Jujutsu Kaisen dan Demon Slayer dihasilkan sendiri menggunakan aplikasi Procreate.

“Walaupun sibuk dengan tugasan belajar, namun sama sekali tidak menghalang saya untuk mengeluarkan rekaan terbaharu setiap bulan dan dijual kepada pelanggan.

“Jadi, hari ini buat pertama kali saya berpeluang untuk jual koleksi saya secara fizikal di Pasar Seni Genta memandangkan sebelum ini hanya dijual dalam talian dan promosi di Instagram,” katanya yang menggemari seni lukis sejak kecil.