Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT PILIHAN MINGGUAN RENCANA

Bot tersangkut, batal lawatan kerja, wakil rakyat segera bantu mangsa bah

Kesungguhan wakil rakyat bersengkang mata membantu mangsa banjir dipapar pada edisi 20-26 Januari 2022. Kali ini, wartawan Zareef MuzamMil, Norrasyidah Arshad, Amin Ridzuan Ishak dan Siti Rohaizah Zainal memaparkan kisah empat Ahli Dewan Negeri menyelamatkan penduduk. Pengalaman beberapa lagi wakil rakyat disiar pada minggu depan

Bot yang dinaiki EXCO infrastruktur dan kemudahan awam ketika berusaha menyelamat mangsa banjir beberapa kali berlanggar dengan kenderaan yang ditenggelami air.

Malah, kipas bot hampir patah akibat pelanggaran tersebut. Kejadian mencemaskan itu berlaku ketika Ir Izham Hashim menyertai operasi menyelamat penduduk Taman Sri Muda, Shah Alam pada awal pagi 19 Disember.

Menaiki bot Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, beliau antara pemimpin terawal ke sana sebaik sahaja menerima laporan kawasan itu teruk terjejas.

Mulanya, beliau menyangka sekitar 20 hingga 30 keluarga perlu diselamatkan tetapi tekaannya jauh meleset. Ribuan keluarga terkandas, sebahagian besar terpaksa naik ke atas bumbung rumah masing-masing. Suasana pula gelap gelita selepas bekalan elektrik terputus.

“Ketika saya tiba di Taman Sri Muda, ada seorang wanita minta tolong untuk keluarkan ayah dan anak saudara beliau berumur dua tahun yang terkandas di rumah sejak hari Sabtu.

Paparan video menunjukkan Ir Izham Hashim membantu penduduk yang terkandas di Taman Sri Muda, Shah Alam pada dini hari 19 Disember 2021. Foto Facebook Izham Hashim

“Ketika sedang membantu keluarga wanita tersebut, saya dapat makluman ada jiran beliau yang sedang sarat mengandung juga terkandas di rumah. Saya ambil keputusan untuk segera keluarkan ibu mengandung dari Taman Sri Muda,” katanya.

Ir Izham bertekad untuk menyelamatkan mereka. Meski bukan kawasan yang diwakilinya, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandan Indah tetap berasa bertanggungjawab untuk membantu. Walau bukan semua, beliau berhasil menyelamatkan wanita hampir bersalin, warga emas dan beberapa keluarga yang terperangkap.

“Ketika melalui kawasan berkenaan, kereta ada di merata-rata tempat sebab arus tolak kenderaan sehinggakan bot yang kami naiki beberapa kali berlanggar, mujur propeller (kipas) tidak pecah.

“Saya tersentuh hati apabila makanan dan minuman yang kita bawa tidak mencukupi dan sukar pula nak pindahkan semua kerana ia memakan masa,” katanya.

Selepas dua hari berkampung di lokasi yang menjejaskan lebih 10,000 keluarga itu, Ir Izham meneruskan misi bantuan ke daerah lain antaranya Klang, Sepang, Hulu Langat dan Kuala Langat.

ADN Bandar Baru Klang Dato’ Teng Chang Khim gelisah ketika berada dalam pesawat pulang dari Pulau Pinang selepas menghadiri pemukiman agensi negeri pada pagi 18 Disember.

Sebelum menaiki pesawat, beliau dimaklumkan beberapa kawasan di Selangor dinaiki air. Sangka beliau hanya banjir kilat seperti biasa. Hatinya mula tidak keruan apabila mendapati hujan berterusan sepanjang perjalanan.

Pesawat sukar mendarat

Tempoh sejam penerbangan terasa panjang. Malah, ketika hampir mendarat, pesawat terpaksa naik semula lantaran lebatnya hujan. Mereka terpaksa berlegar selama 45 minit sebelum mendarat.

Ketika menjengah tingkap, Chang Khim mendapati Kampung Melayu Subang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah ditenggelami air. Beliau mula khuatir nasib penduduk Bandar Baru Klang yang diwakilinya.

Keluar dari perut pesawat, wakil rakyat enam penggal itu bergegas ke kawasannya. Chang Khim terkesima melihat jalan ditenggelami air akibat limpahan Sungai Damansara sekali gus menyukarkan perjalanannya.

Dato’ Teng Chang Khim menyampaikan bantuan kepada penduduk Taman Klang Utama, Klang pada 26 Disember 2021. Foto Dato’ Teng Chang Khim

“Sampai rumah, saya letak beg dan bergegas ke pusat pemindahan sementara (PPS). Sekali lagi saya terkandas, hanya selepas dua jam setengah baharu sampai.

“Masa itu PPS sudah ada 400 mangsa. Saya diberitahu banyak lagi sedang dalam proses dibuka, susah hati mengenangkan nasib penduduk yang terperangkap,” katanya mengimbau kejadian bah pada 18 Disember tahun lalu.

Menyifatkan banjir itu pengalaman tidak pernah ditempuhinya, beliau yang menjadi wakil rakyat pada 1995 kagum menyaksikan semangat kebersamaan masyarakat. Pemilik kenderaan pacuan empat roda yang boleh meredah banjir meminjamkan kenderaan untuk membawa mangsa banjir ke PPS secara sukarela.

“Kita dapat bantuan badan bukan kerajaan. Bila kami sebarkan permohonan bantuan, ramai tampil. Syukur beban mangsa banjir diringankan,” katanya.

Turut membatal misi pelaburan ke Turki dan Dubai yang dijadual pada 25 Disember bagi membantu mangsa bah, Chang Khim yang juga EXCO pelaburan, industri dan perdagangan menyifatkan bah itu banyak membawa pengajaran.

Dalam keadaan rumit itu, barisan pemimpin Selangor termasuk Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari tidak dapat melelapkan mata apabila air terus melimpah pada petang 18 Disember.

Wakil rakyat kawasan masing-masing, dibantu ADN yang tidak terjejas banjir, berganding bahu menyelamatkan penduduk, selain menyelaras bantuan agar cepat sampai ke pihak memerlukan.

Pelabuhan Klang yang diwakili Azmizam Zaman Huri, Juwairiya Zulkifli (Bukit Melawati) dan Gunarajah George (Sentosa) antara kawasan yang terjejas. Mereka terus bertarung meringankan beban penduduk sejak hari pertama.

Begitu juga ADN lain yang kawasannya tidak terjejas tetapi turun padang membantu rakan sejawat di kawasan dinaiki air seperti Michelle Ng Mei Sze (Subang Jaya), Chua Wei Kiat (Rawang) dan Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama).

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail, EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau dan EXCO Hal Ehwal Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni turut bingkas membantu mangsa banjir.

Begitu juga wakil rakyat Dusun Tua Edry Faizal Yusof yang nyaris menjadi bidan, manakala ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar menyewa lori bagi menyelamatkan penduduk.

Patah balik dari JB

ADN Kota Anggerik Najwan Halimi pula membatal percutian bersama keluarga demi membantu penduduk di kawasannya yang teruk terjejas banjir.

Najwan Halimi bermesra dengan mangsa banjir Padang Jawa yang ditempatkan di PPS Dewan Kiambang Seksyen 7, Shah Alam pada 20 Disember 2021, Foto Facebook Najwan Halimi

Meski telah tiba di Johor Bahru pada malam kejadian, beliau berpatah balik ke Selangor keesokan pagi.

Najwan juga mengarahkan pegawai pusat khidmat masyarakatnya memantau keadaan dan menghulur bantuan termasuk bekalan makanan seberapa segera.

Sejurus tiba, beliau pilu menyaksikan suasana bandar raya Shah Alam seumpama lautan. Kawasan Kota Anggerik yang terjejas teruk antaranya Seksyen 13, Shah Alam dan Mutiara Bukit Raja, Klang. Ribuan penduduk terperangkap di rumah masing-masing.

Lebih menyayat hati Najwan saat bertemu seorang mangsa yang tinggal sehelai sepinggang berikutan rumahnya dinaiki air. Penduduk itu termenung dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan kerana kediaman bapanya di Meru juga tenggelam.

“Sebelum banjir, ibunya meninggal dunia akibat Covid-19 dan belum hilang perasaan sedih, kini diduga pula dengan musibah banjir. Dalam sekelip mata hilang segalanya.

“Sesungguhnya kejadian ini sangat menginsafkan. Namun, kita cuba membantunya supaya dapat meringankan bebannya,” katanya.

Najwan menyifatkan bencana itu memberi pengalaman baharu kepadanya sebagai wakil rakyat. Namun, beliau bersyukur berikutan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) membantu dalam setiap aspek.

Selain Sukarelawan Selangor (SERVE), Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan Wanita Berdaya Selangor (WBS), badan bukan kerajaan seperti Arus Anak Muda dan sukarelawan surau berganding bahu membantu kawasan Kota Anggerik.

Mengepam air

ADN Pandamaran Tony Leong Tuck Chee pula berasa gusar apabila mendapati hujan lebat beberapa jam pada petang 17 Disember. Berdasar pengalamannya, hujan tanpa henti boleh menyebabkan beberapa lokasi di kawasan yang diwakilinya dinaiki air.

Telahannya tepat. Tidak lama kemudian, beliau menerima panggilan bertalu-talu kira-kira jam 8 malam yang memaklumkan air parit sekitar Pandamaran dan Taman Chi Liung melimpah.

Unit Tindak DAP Pandamaran membantu membersihkan kawasan Taman Sri Muda yang terjejas bah pada 26 Disember 2021. Foto Facebook Tony Leong Tuck Chee

“Saya terus ke kunci air di Jalan Papan, Pandamaran. Saya juga maklumkan JPS minta mereka turun dan pantau,” katanya.

Banjir akibat hujan lebat luar biasa diburukkan lagi dengan air laut pasang besar.

Menurut Tuck Chee, hujan sehingga jam 11 malam hari berkenaan menyebabkan beberapa rumah dimasuki air. Beliau dan penduduk setempat menggunakan pam bagi menyedut keluar limpahan air parit.

Usaha mereka berjaya membantu lapan keluarga. Ia diteruskan hingga jam 1 pagi 18 Disember. Namun, hujan kembali lebat menyebabkan mereka terpaksa menghentikan kerja mengepam.

“Empat kawasan iaitu Pandamaran, Taman Chi Liung, Taman Melawis dan Bayu Perdana dinaiki air hampir satu kaki. Nasib baik air mula surut pada petang Sabtu (18 Disember). Pada Ahad, saya membantu di Taman Sri Muda kerana keadaan di sana yang teruk,” katanya.

Walaupun kawasannya tidak teruk seperti Shah Alam dan Hulu Langat tetapi beliau sedar banjir itu tetap menjejaskan kehidupan penduduk.

“Lepas banjir surut, kerja pembersihan pascabanjir dijalankan. Ramai yang bantu penduduk bersihkan rumah antaranya NGO SERVE dan Team Selangor. Saya anggar lebih 3,000 rumah terkesan banjir,” katanya.

“Sehingga kini, bantuan masih diperlukan penduduk ekoran harta benda termasuk barangan keperluan harian rosak.

“Masih ada mangsa yang minta tilam dan bantal. Saya sudah beri 200 tilam, 400 bantal bagi meringankan beban mereka.”

Susulan itu, pengendali sisa pepejal KDEB Waste Management bersama empat pihak berkuasa tempatan dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) membersihkan 148,186.84 tan metrik sampah setakat awal bulan lepas.

Sejumlah RM55,425 juta Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dihulurkan kepada 55,425 ketua isi rumah setakat 3 Februari.